Ada perlunya kadar inflasi dikaji semula


WALAUPUN kadar inflasi di Malaysia dikatakan “lebih rendah” daripada purata dunia dan kekal “terkawal”, ianya tidak menggambarkan realiti pengalaman rakyat yang terus terhimpit akibat kenaikan inflasi harga makanan dan bahan api.

Jabatan Perangkaan menyatakan Indeks Harga Pengguna (CPI) – yang mengukur kadar perubahan dalam kos perbelanjaan bakul barangan dan perkhidmatan oleh isi rumah dalam tempoh masa tertentu – meningkat kepada 2.3% tahun ke tahun daripada 123.1 pada April tahun lalu kepada 125.9 pada April tahun ini.

Secara rasminya, IHP Malaysia lebih rendah berbanding India, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura yang masing-masing berada pada 7.04, 8.6, 9.1 dan 5.6%.

Bagaimanapun, subsidi bahan api, subsidi yang lain serta siling atau kawalan harga sudah tentu menyumbang kepada memastikan bahawa inflasi sebenar di Malaysia ialah lebih rendah daripada apa yang sepatutnya.

Memandangkan pengeluar terpaksa menanggung beban kenaikan harga makanan ternakan dan kekurangan buruh, ini mengakibatkan peningkatan peratusan dua digit dalam Indeks Harga Pengeluar (PPI) ke 11.0% pada April.

PPI mengukur harga barang pada pintu masuk kilang iaitu produk siap tetapi mengecualikan kos pengangkutan atau logistik dan caj pasca pengeluaran lain seperti pemborongan, pengedaran dan pemasaran.

Ini menunjukkan walaupun tanpa kos pengangkutan atau logistik, inflasi makanan sepatutnya jauh lebih tinggi.

Bagi menggantikan pelarasan harga siling dan variasi ayam dan telur serta pemansuhan subsidi minyak masak dalam botol 2kg, 3kg dan 5kg mulai Julai 1, kerajaan akan menyediakan bantuan tunai tambahan kepada isi rumah B40.

Bantuan tunai tambahan RM630 juta akan dialihkan daripada subsidi asal RM729 juta yang dahulu diperuntukkan kepada penternak ayam di mana tambahan RM100 dan RM50 akan diberikan kepada isi rumah B40 dan bujang masing-masing.

Namun begitu, ini bukan penyelesaian yang mampan untuk mengurangkan kesengsaraan kos sara hidup rakyat dalam jangka masa panjang.

Persoalannya ialah berapa lama elaun tunai yang kecil itu boleh bertahan bagi isi rumah B40 yang membelanjakan sekurang-kurangnya 25% daripada pendapatan untuk makanan dan minuman bukan alkohol sebelum wabak Covid-19 lagi?

Menurut Laporan Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah Jabatan Perangkaan 2019, isi rumah B40 memperuntukkan lebih banyak daripada pendapatan mereka untuk makanan dan minuman berbanding isi rumah M40 pada 18% dan isi rumah T20 pada 12.6%.

Dengan peningkatan inflasi harga makanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, isi rumah B40 sudah mungkin membelanjakan lebih daripada 50% pendapatan mereka untuk makanan.

Isi rumah M40 atasan dan pertengahan juga merupakan kumpulan pendapatan yang rentan kerana corak perbelanjaan mereka setanding dengan B40 dalam penggunaan makanan.

Pendek kata, inflasi menghakis kuasa beli mereka kerana gaji tidak meningkat.

Tidak seperti kumpulan T20, mereka juga biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang mencukupi berbanding dengan pendapatan mereka.

Memandangkan isi rumah M40 pertengahan dan atasan tidak mempunyai akses kepada bantuan tunai, adakah kita akan melihat lebih ramai orang menghadapi masalah aliran tunai atau terpaksa mengetatkan tali pinggang mereka yang sejurusnya membawa kepada penurunan taraf hidup?

Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan (2020), Jabatan Perangkaan menunjukkan sekitar 20% atau 580,000 isi rumah jatuh daripada kategori pendapatan M40 kepada B40 pada 2020.

Sebakul barangan runcit yang berharga RM79.90 pada 2010 meningkat kepada RM100 pada April tahun ini yang bermakna kuasa beli isi rumah menurun sebanyak 20.1%, mengikut ketua perangkaan negara Mohd Uzir Mahidin.

Itulah sebabnya penting untuk menyemak semula CPI dan memastikan ia lebih mencerminkan realiti di lapangan. – 7 Julai, 2022.

* Jason Loh Seong Wei dan Amanda Yeo, penyelidik di EMIR Research,

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen