Kenaikan OPR bakal jejas sosioekonomi, pertumbuhan negara, kata pakar


Bank Negara Malaysia dijangka mengumumkan pendirian dasar monetari negara esok selepas tamatnya Mesyuarat Dasar Monetari yang bermula hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2022.

BANK Negara Malaysia digesa untuk tidak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana ia akan memberi implikasi yang besar kepada sosio ekonomi rakyat, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Pakar Ekonomi, Profesor Dr Shazali Abu Mansor berkata mengekalkan OPR pada kadar semasa iaitu 2.0 peratus merupakan satu tindakan yang penting berikutan negara sedang dilanda inflasi di tengah-tengah kenaikan harga pelbagai barangan isi rumah.

“Menaikkan kadar faedah di waktu ini bukan langkah yang tepat bagi membendung inflasi kerana ia berlaku bukan disebabkan peningkatan ‘aggregate demand’, tetapi disebabkan oleh gangguan dalam kitaran penawaran.

“Situasi di negara kita sekarang bukan disebabkan keghairahan orang untuk berbelanja, jadi tidak tepat jika kita hendak naikkan kadar faedah.

“Kos pengeluaran barangan juga akan meningkat. Dengan keadaan sukar sekarang ini, kenaikan harga barang sudah tentu membebankan rakyat dan akhirnya mengurangkan kuasa beli mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Shazali yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pengajian Siswazah, Kolej Universiti i-CATS berkata kenaikan OPR akan turut memberi kesan kepada kadar pinjaman peminjam dengan bayaran ansuran bulanan yang semakin tinggi.

Susulan itu, aliran tunai sama ada peniaga atau persendirian yang mempunyai pinjaman daripada institusi kewangan akan terjejas, katanya.

Beliau turut berkata peningkatan OPR akan memberi risiko kepada pertumbuhan pelaburan dalam  negara.

“Peningkatan OPR akan menyukarkan pelabur membuat pelaburan baharu memandangkankan ‘cost of fund’ meningkat.

“Dengan keadaan iklim pelaburan yang lembab ketika ini, peningkatan OPR tidak membantu pelabur,” jelas beliau.

Semalam, penyedia penyelidikan ekonomi Moody’s Analytics menjangkakan BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus.

Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) keempat BNM berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan pendirian dasar monetari akan diumumkan esok. – Bernama, 5 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen