Kementerian digesa kenal pasti kanak-kanak terkesan krisis harga makanan 


Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa pihak berkenaan mengambil tindakan bagi mengelakkan kesan negatif terhadap kanak-kanak di masa akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2022.

MENTERI yang bertanggungjawab ke atas pendidikan dan kanak-kanak perlu mengenal pasti mereka yang tidak mempunyai akses kepada makanan dan melaporkan data itu kepada Parlimen apabila ia bersidang semula akhir bulan ini, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata ini perlu memandangkan harga makanan meningkat dan ketika terdapat laporan mengatakan pelajar universiti terpaksa ikat perut.

“Tiada (belum ada) suara Eksekutif yang berkesan daripada Menteri Pendidikan Radzi Jidin atau Menteri Wanita Rina Harun yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak. Sekurang-kurangnya mereka boleh lakukan sekarang ialah mengenal pasti kanak-kanak yang terjejas dan melaporkannya kepada Parlimen apabila kami bersidang semula.

“Tanpa data, masyarakat awam dan pelbagai NGO tidak akan dapat membantu secara bermakna,” kata Yeoh dalam satu kenyataan hari ini.

Parlimen akan bersidang semula pada 18 Julai.

Yeoh merujuk kepada laporan berita mengenai pelajar universiti yang terpaksa ikat perut kerana peningkatan harga makanan dan kos sara hidup dan menyebutnya sebagai “bom masa yang berdetik”

“Kenaikan harga ini telah menjejaskan banyak keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Mereka hampir tidak mempunyai keperluan yang cukup untuk hidup,” katanya sambil menambah bahawa kanak-kanak daripada keluarga miskin akan menjadi yang paling teruk terjejas.

Bukan sahaja keluarga yang memerlukan tidak mampu membeli makanan berkualiti, mereka juga mungkin tidak dapat mendapatkan rawatan perubatan untuk anak-anak mereka. Ditambah lagi dengan kekurangan ubat-ubatan, kata Yeoh.

Pendidikan kanak-kanak juga akan terjejas, apabila keluarga kekurangan wang untuk dibelanjakan bagi tujuan pendidikan, termasuk untuk pengangkutan ke sekolah, buku atau pakaian seragam.

“Pendidikan mereka mungkin terganggu atau dalam beberapa keadaan terpaksa berhenti kerana isi rumah yang terjejas mungkin memerlukan bantuan anak-anak mereka dalam menjalankan gerai dan perniagaan kerana bantuan berbayar jauh lebih mahal.”

Yeoh berkata krisis harga makanan adalah serupa dengan kitaran kesan buruk Covid-19 ke atas kanak-kanak, dan memberi amaran bahawa Malaysia akan berdepan kesan negatif pada masa akan datang termasuk kanak-kanak mengalami kekurangan zat dan tidak berpendidikan jika Putrajaya tidak campur tangan secara mampan. – 5 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen