Sarawak teroka pendekatan tangani inflasi, jaminan makanan


Menurut Abang Johari Sarawak turut mengehadkan penggunaan tanah untuk penanaman kelapa sawit untuk menumpukan kepada usaha memperkasakan industri makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2022.

SARAWAK mencuba sedaya upaya untuk melihat pelbagai pendekatan yang boleh diguna pakai sebagai penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Abang Johari berkata pendekatan sedemikian sangat diperlukan kerana negara sedang berhadapan inflasi yang menjejaskan setiap kehidupan rakyat Malaysia berikutan kebergantungan yang tinggi terhadap barangan import.

“Jadi, kita perlu menangani isu (inflasi) ini untuk jangka panjang dan sebab itu kerajaan Sarawak antara lain akan mewujudkan taman agro di pelbagai kawasan dalam wilayah Bintulu dan Kuching.

“Taman agro ini dikhususkan untuk mentransformasikan sektor pertanian supaya ia boleh menjadi sektor yang berorientasikan eksport bukan hanya untuk penggunaan tempatan. Saya percaya Sarawak mempunyai kekuatan dalam hal ini kerana tidak mempunyai masalah dengan isu tanah, hanya perlu diuruskan dengan baik,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada majlis pelancaran Kenyalang Biris Rice dan Carus White Pepper di Lalaport Bukit Bintang City Centre di Kuala Lumpur yang diadakan serentak dengan prapelancaran Agrofest Sarawak 2022 dan Nyamai Sarawak Gastronomy Festival 2022.

Sementara itu, pada sidang media Abang Johari memberitahu Sarawak kini turut mengehadkan penggunaan tanah untuk penanaman kelapa sawit kerana mahu menumpukan kepada usaha memperkasakan industri makanan. 

Katanya melalui dasar yang sedang dilaksanakan Sarawak juga mementingkan penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dalam memaksimumkan hasil tanaman petani dan memberi nilai tambah kepada industri makanan.

“Kalau kita lihat keadaan pada hari ini Malaysia sebenarnya menerima tempias daripada tekanan geopolitik tetapi kita berasa agak anehlah juga sebab kita adalah sebuah negara yang mengeluarkan makanan.

“Sebab itu kita (Sarawak) sudah buat satu sumbang saran dengan melihat negara lain seperti Thailand dan China dalam memajukan sektor pertanian mereka,” katanya. – Bernama, 3 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen