Kerajaan, pengeluar ayam kerjasama pastikan bekalan cukup


Kerajaan telah mendapat jaminan bekalan ayam yang berterusan daripada penternak. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Julai, 2022.

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam supaya dapat melihat perspektif industri secara lebih dekat sekali gus memastikan bekalan dan kelangsungan pengeluaran ayam negara stabil dan mencukupi.

Menterinya Dr Ronald Kiandee berkata penternak dan pengusaha ladang-ladang penternakan ayam telah menyatakan komitmen untuk bersama-sama memperkukuh sekuriti makanan negara melalui tahap pengoperasian ladang pada tahap yang optimum demi menjamin bekalan ayam yang berterusan.

“Kerajaan sedaya-upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup.

“Di samping itu, pengimportan stok penimbal ayam juga sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 4,536 tan metrik menjelang penghujung Julai 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Kerja di Ladang Penternakkan Ayam di di Kampung Dalam Huma, Machang hari ini.

Mengulas lanjut, Ronald berkata kerajaan terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan meneruskan pemberian subsidi supaya bekalan dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan. 

“Setakat ini, sebanyak 4,739 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM384 juta telah diluluskan oleh MAFI. Semua penternak boleh terus kemukakan permohonan sehingga subsidi dapat disalurkan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi menjamin kesejahteraan keluarga Malaysia,” katanya.– Bernama, 2 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen