Kerajaan pastikan kadar inflasi rendah, boleh diurus, kata Annuar 


Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan memastikan kadar inflasi di Malaysia berada pada tahap rendah serta boleh diuruskan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Jun, 2022.

KERAJAAN melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan memastikan kadar inflasi di Malaysia berada pada tahap rendah serta boleh diuruskan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Annuar yang merupakan pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu berkata pasukan itu akan memberi perhatian kepada semua harga barangan dan perkhidmatan yang boleh menyumbang ke arah kenaikan kadar inflasi selain ayam, telur dan minyak masak.

“Kita juga memberi jaminan akan terus melaksanakan pendekatan secara proaktif mengawal dan mengekalkan negara berada pada kadar inflasi yang boleh diurus dan tidak mengalami inflasi yang tinggi,” katanya.

Annuar berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas itu bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Ismail Sabri berkata pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu dianggotai Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed; Nanta Linggi dan Mohd Zuki.

Annuar Musa berkata Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi  akan memberi perhatian kepada semua harga barangan dan perkhidmatan yang boleh menyumbang ke arah kenaikan kadar inflasi selain ayam, telur dan minyak masak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2022.

Mengulas penubuhan pasukan khas jihad inflasi itu, Annuar berkata ia akan mengukuhkan jalinan kerjasama antara pelbagai agensi dan akan dikembangkan mengikut keperluan, selain menekankan aspek penguatkuasaan serta tindakan yang akan diambil dari semasa ke semasa.

“Tugas utama kerja pasukan khas ini tidak terhad kepada kementerian yang para menterinya telah diumumkan sebagai ahli tetapi menteri lain juga akan diundang untuk menyertai apabila ada perkara terkait dengan kementerian berkenaan.

“Beberapa agensi turut serta termasuk BNM (Bank Negara Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan kumpulan pakar rujuk yang mempunyai kemahiran bagi memberi pandangan serta nasihat kepada jawatankuasa ini tentang langkah yang boleh diambil,” katanya.

Menyentuh mengenai kadar inflasi di Malaysia, beliau berkata walaupun peningkatan inflasi berlaku di seluruh dunia, namun Malaysia mempunyai kadar inflasi antara paling rendah iaitu kira-kira 2.8 peratus berbanding negara Asean lain mahupun negara maju.

“Mungkin ramai tidak menyedari bahawa keadaan ini adalah kerana komitmen kerajaan menggunakan pendekatan mengawal kenaikan harga terutama bagi barangan keperluan dengan kerajaan membayar subsidi tertentu.

“Dalam sidang Parlimen tahun lalu telah meluluskan anggaran belanjawan pembiayaan pelbagai bentuk subsidi untuk 2022 hanya RM33 bilion tetapi berasaskan kenaikan pelbagai harga barangan terutama kenaikan harga petrol dan lain-lain, MOF (Kementerian Kewangan) mengunjurkan keperluan sebenar pada tahun ini akan cecah lebih RM70 bilion.

“Ini bermakna, kerajaan mengekalkan dasar untuk terus memberi subsidi kepada barangan tertentu bagi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan dengan suasana inflasi yang sedang berlaku ketika ini dan mengekalkan negara pada tahap inflasi yang rendah,” katanya.

Ditanya sama ada penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi seakan sama dengan jawatankuasa lain seperti Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (NACCOL), Annuar berkata ia tidak menimbulkan masalah.

Beliau berkata laporan dan hasil mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan dibawa kepada Jemaah Menteri dan juga NACCOL.

“Pentingnya daripada laporan kita ini, kita ada jawatankuasa peringkat nasional, NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Selain itu, sudah tentu kita ada mesyuarat mingguan Kabinet setiap Rabu, memang membincangkan masalah harga dihadapi rakyat,” katanya. – Bernama, 30 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen