Rusia tiada masalah jika Finland, Sweden sertai Nato 


RUSIA tiada masalah jika Finland dan Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), kata Presiden Vladimir Putin pada Rabu.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan Sweden dan Finland seperti dengan Ukraine,” kata Putin pada sidang akhbar di ibu kota Turkmenistan, Ashgabat.

“Kami tidak mempunyai isu wilayah,” kata pemimpin Rusia itu.

“Tiada apa-apa yang merisaukan kami mengenai Sweden dan Finland menyertai Nato. Jika Finland dan Sweden mahu, mereka boleh menyertainya. Itu terpulang kepada mereka. Mereka boleh menyertai apa sahaja yang dimahukan.

“Bagaimanapun, jika kontinjen ketenteraan dan infrastruktur ketenteraan ditempatkan di sana, kami wajib bertindak balas secara simetri dan menimbulkan ancaman yang sama bagi wilayah di mana ancaman timbul terhadap kami,” kata Putin.

Sweden dan Finland membuat keputusan untuk memohon menyertai Nato selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine yang pro-Barat pada 24 Februari.

Proses rasmi untuk keahlian dilancarkan pada sidang kemuncak Nato di Madrid pada Rabu.

Sehingga kini, Rusia sentiasa mengkritik kemungkinan kedua-dua negara Nordik menyertai pakatan itu, dengan berkata ia akan menjadi “faktor ketidakstabilan” bagi keselamatan antarabangsa.

Putin bagaimanapun mengecam “cita-cita empayar” Nato, menuduh perikatan itu berusaha untuk mengukuhkan “ketuanannya” melalui konflik Ukraine.

“Ukraine dan kesejahteraan rakyat Ukraine bukanlah matlamat kolektif Barat dan Nato tetapi satu cara untuk mempertahankan kepentingan mereka sendiri,” kata Putin.

“Pemimpin negara Nato ingin… menegaskan ketuanan, cita-cita empayar mereka,” tambahnya.

“Perikatan Atlantik dan Amerika Syarikat sekian lama memerlukan musuh luar bagi menyatukan sekutu mereka,” kata pemimpin Rusia itu.

“Iran tidak bagus mengenainya. Kita sudah memberi mereka peluang… untuk mengumpulkan seluruh dunia di sekeliling mereka.” – AFP, 30 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen