Kumpulan pro-Pakatan anjur forum bahas isu kos sara hidup


Forum Sidang Nadi Rakyat pada 2 Julai akan membahaskan anta lain isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2022.

KUMPULAN akar umbi pro-Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan satu forum khas pada 2 Julai bagi membincangkan pelbagai isu dalam negara dan akan berlangsung mengikut format Parlimen.

Forum Sidang Nadi Rakyat itu akan disertai orang ramai dan pemimpin kumpulan masyarakat sivil, membahaskan antaranya isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

Jurucakap sekretariat forum Senator Fadhlina Sidek memberitahu The Malaysian Insight sesi perbahasan akan digulung oleh ahli-ahli Parlimen PH. Ucapan penutup akan disampaikan oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim, katanya.

Menurut Fadhlina, forum itu akan berlangsung mengikut format Parlimen dan mempunyai ‘speaker’nya sendiri. 

Selain kos sara hidup, Sidang Nadi Rakyat juga akan membahaskan isu pendidikan, pengangkutan, diskriminasi terhadap wanita dan belia, serta isu kanak-kanak, tambahnya.

“Inilah ruang untuk orang ramai suarakan kekecewaan, kemarahan dan bentangkan sendiri penyelesaian bagi masalah,” kata Fadhlina.

Katanya lagi, forum tersebut akan dimulakan di Selangor terlebih dahulu pada Sabtu ini (2 Julai) di Dewan Hotel Tabung Haji di Kelana Jaya,  sebelum ke negeri-negeri lain.

“Kami masih dalam proses uktuk memuktamadkan kempen di negeri-negeri lain dan butiran lanjut akan dimaklumkan kepada orang ramai nanti.”

Forum itu akan disertai antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) and Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), katanya. – 29 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen