Pakatan akan ambil tindakan undang-undang terhadap RoS minggu ini


Amin Iskandar Noel Achariam

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad pada sidang media hari ini berkata RoS langsung tidak memberi respons kepada mereka berhubung permohonan pendaftaran pakatan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Februari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada minggu ini kerana masih “belum memberikan apa-apa respons” terhadap status pendaftaran gabungan empat parti itu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi PH itu berkata mereka akan bawa perkara ini ke mahkamah agar RoS memberikan jawapan dan melihat kepada permohonan untuk mendaftarkan gabungan itu.

Langsung tiada apa-apa respons daripada RoS. Walaupun kita bertanya kepada mereka, mereka tetap tidak menjawab,” kata Dr Mahathir pada satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya hari ini.

“Kita tidak boleh kata mereka menolak kerana mereka masih lagi belum tolak, tetapi pada masa sama kita tak boleh berbuat apa-apa kerana masih belum didaftarkan.”

Dr Mahathir berkata tindakan RoS “mendiamkan diri” boleh dilihat sebagai membantu Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Adalah salah bagi jabatan kerajaan untuk bersikap berat sebelah dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kami juga bimbang dengan senarai pengundi, kita dapati banyak kesalahan dalam senarai pengundi.

“Dan ini juga akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir turut mengkritik sistem pengundian pos dan pengundian awal yang dilaksanakan SPR untuk PRU14.

“Kalau ini diperkenalkan, kita dapati ramai daripada orang ini mungkin memberi sokongan kepada parti kerajaan.

“Kita tahu dalam PRU13, lebih 400,000 pengundi membuat pengundian awal ataupun undi pos.

“Ini mempunyai kesan besar terhadap undi bagi parti lawan (pembangkang),” katanya.

Dr Mahathir berkata bagi PRU14, jumlah pengundi pos dan pengundi awal sudah mencecah 1 juta.

“Ini memberi peluang kepada salah guna kuasa oleh pihak-pihak tertentu supaya kemenangan akan didapati oleh pihak kerajaan.

“Inilah cara yang tidak adil dan mungkin bercanggah dengan undang-undang yang dilakukan oleh kerajaan bagi menentukan kemenangan bagi parti BN,” katanya. – 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • The present government must not show people that democracy is being strangled by the neck. Such action will backfire.


    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

  • kalau perlu ambil tindakan undang2 ke atas RoS then proceed. selagi mana ia berlandaskan undang2 yang termaktub dalam perlembagaan. silakan. tetapi nanti andai kata keputusan mahkamah tidak memihak kepada kamu, jangan pula kamu katakan yang mahkamah berat sebelah sudahlah. hahaha.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan