Kualiti hidup Vietnam ke-62 terbaik dunia


Dua wanita memakai berpakaian tradisional Vietnam, Ao Dai, di Hanoi. – Gambar AFP, 27 Jun, 2022.

VIETNAM melonjak ke kedudukan ke-62 dalam senarai negara yang mempunyai kualiti hidup terbaik di dunia pada 2021, menurut laporan dikeluarkan CEOWORLD, sebuah majalah perniagaan dan perdagangan terkemuka.

Negara Asia Tenggara itu memperoleh 78.49 mata, menduduki tempat ke-62 daripada 165 negara, satu lonjakan hebat berbanding kedudukan ke-101 pada tahun sebelumnya, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Sementara itu, Finland dinobatkan negara dengan kualiti hidup terbaik di dunia pada 2021 dengan memperoleh 99.06 mata, manakala Denmark dan Norway di tempat kedua dan ketiga masing-masing merekodkan 98.13 mata dan 96.75 mata.

Jepun menduduki tempat pertama dalam kalangan negara Asia, manakala Singapura mengungguli kedudukan di rantau Asia Tenggara.

Sebanyak 165 negara itu dipilih berdasarkan hasil sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) paling tinggi di dunia.

Lebih 258,000 responden di seluruh dunia diminta menilai negara berdasarkan kriteria antara lain termasuk kestabilan, ketelusan dan kesaksamaan. – Bernama, 27 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen