Menteri Ecuador bimbang protes ganggu pengeluaran minyak


Polis dan rakyat Ecuador saling bertempur sejak dua minggu ini berikutan protes kenaikan bahan api dan kos sara hidup diterajui Orang Asli di negara yang kaya dengan minyak itu. – Gambar EPA, 27 Jun, 2022.

KEMENTERIAN tenaga Ecuador memberi amaran pada Ahad yang pengeluaran minyak ditahap “kritikal” dan boleh dihentikan jika protes serta sekatan jalan berterusan di negara Amerika Selatan yang dilanda krisis itu.

Protes hampir dua minggu diterajui Orang Asli berikutan kenaikan harga bahan api serta kos sara hidup, yang telah melumpuhkan sistem pengangkutan, dengan sekatan jalan dibuat di 19 daripada 24 wilayah di negar ayang kaya dengan minyak itu.

“Pengeluaran minyak berada pada tahap kritikal,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

“Jika keadaan ini berterusan, pengeluaran minyak negara akan ditangguhkan dalam tempoh kurang daripada 48 jam kerana vandalisme, rampasan telaga minyak dan penutupan jalan telah menghalang pengangkutan peralatan dan diesel yang diperlukan untuk meneruskan operasi.”

“Hari ini angka menunjukkan penurunan lebih 50 peratus” pengeluaran yang, sebelum protes, adalah kira-kira 520,000 tong sehari, katanya.

Ekonomi Ecuador sangat bergantung kepada hasil minyak, dengan 65 peratus daripada keluaran dieksport dalam empat bulan pertama 2022.

Dianggarkan 14,000 penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam protes di seluruh negara, kebanyakannya di Quito.

Kekurangan sudah dilaporkan di ibu negara, di mana harga telah melonjak.

Keganasan antara polis dan penunjuk perasaan dilaporkan telah menyebabkan lima maut, manakala kira-kira 500 orang cedera, menurut pelbagai sumber.

Pada Ahad, kerugian ekonomi awam-swasta daripada protes dilaporkan berjumlah AS$500 juta, menurut Menteri Pengeluaran Julio Jose Prado. – AFP, 27 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen