Rusia serang Kyiv ketika G7 berkumpul di Jerman


Beberapa serangan udara oleh Rusia telah melanda pusat Kyiv pada pagi Ahad, ketika kumpulan G7 barat sedang bermesyuarat di Jerman. – Gambar EPA, 27 Jun, 2022.

SERANGAN Rusia melanda sebuah bangunan kediaman di Kyiv pada Ahad dalam serangan pertama ke atas ibu negara sejak hampir tiga minggu, kata Ukraine, menggesa sokongan daripada pertemuan pemimpin G7 di Jerman.

Seorang lelaki maut manakala empat orang, termasuk anak perempuan mangsa berusia tujuh tahun, dibawa ke hospital berikutan serangan awal pagi, kata datuk bandar Vitali Klitschko dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

Rusia menafikan ia telah menyerang orang awam. Terdahulu, ia mengumumkan serangan terhadap tiga pusat tentera di utara dan barat Ukraine, termasuk satu berhampiran sempadan dengan anggota Nato dan Kesatuan Eropah (EU) Poland.

Serangan berprofil tinggi itu muncul ketika seminggu diplomasi Barat dimulakan dengan sidang kemuncak G7 di Jerman, yang akan diikuti dengan mesyuarat pemimpin Nato di Sepanyol.

Sekutu termasuk Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengutuk serangan terhadap Kyiv sebagai “biadab”.

Biden berkata Nato dan G7 menentang hasrat Presiden Rusia Vladimir Putin agar Barat “berpecah”, berikrar untuk bersatu padu menyokong Ukraine. – AFP, 27 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen