Perang Ukraine boleh rancakkan pengeluaran dadah, kata PBB


PBB berkata bilangan makmal amphetamine yang dibongkar di Ukraine meningkat daripada 17 pada 2019 kepada 79 pada 2020, jumlah tertinggi makmal yang disita dilaporkan di mana-mana negara pada 2020. – Gambar EPA, 27 Jun, 2022.

PEPERANGAN di Ukraine dilihat akan mengembangkan lagi pengeluaran dadah, ketika masa depan pasaran candu bergantung pada nasib Afghanistan yang dilanda krisis, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran pada Isnin.

Pengalaman dari Timur Tengah dan Asia Tenggara mencadangkan zon konflik boleh menjadi “magnet” untuk menghasilkan dadah sintetik, kata Pejabat Dadah dan Jenayah PBB (UNODC) dalam laporan tahunannya.

“Kesan ini mungkin lebih besar apabila kawasan konflik berhampiran pasaran pengguna yang besar.”

UNODC berkata bilangan makmal amphetamine yang dibongkar di Ukraine meningkat daripada 17 pada 2019 kepada 79 pada 2020, jumlah tertinggi makmal yang disita dilaporkan di mana-mana negara pada 2020.

Keupayaan Ukraine untuk menghasilkan ubat sintetik boleh berkembang apabila perang berterusan, tambahnya.

“Anda tidak ada polis yang mengawal dan menghentikan makmal” di zon konflik, pakar UNODC Angela Me memberitahu AFP.

Laporan itu juga menyatakan konflik boleh mengubah dan mengganggu laluan pengedaran dadah, dengan cadangan yang pengedaran di Ukraine telah menurun sejak awal 2022.

Situasi di Afghanistan – yang menghasilkan 86 peratus candu dunia pada 2021 – akan membentuk pembangunan pasaran candu, tambah laporan PBB.

Ia berkata krisis kemanusiaan negara itu boleh memberi insentif kepada penanaman popi candu haram, walaupun selepas pihak berkuasa Taliban mengharamkan amalan itu pada April.

“Perubahan dalam pengeluaran candu di Afghanistan akan memberi implikasi kepada pasaran opiat di hampir semua wilayah di dunia,” kata PBB.

Dianggarkan 284 juta orang menggunakan dadah pada 2021, atau satu daripada setiap 18 orang di seluruh dunia berumur antara 15 dan 64 tahun, laporan itu mendapati.

Laporan UNODC adalah berdasarkan maklumat yang dikumpul daripada negara anggota, sumbernya sendiri, dan menganalisis laporan institusi, media dan bahan sumber terbuka. – AFP, 27 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen