Menteri luar Iran ke Turkiye selepas Israel tuduh Tehran dalang serangan


Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian akan melawat Turkiye pada Isnin selepas Tehran dituduh Israel sebagai dalang rancangan anti-Israel di Turkiye. – Gambar EPA, 27 Jun, 2022.

MENTERI Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian akan melawat Ankara pada Isnin selepas Tehran mendakwa tuduhan Israel sebagai “tidak masuk akal” yang republik Islam itu merancang serangan anti-Israel di Turkiye.

Amir-Abdollahian “akan membuat lawatan ke Turkiye” pada Isnin bagi membincangkan isu dua hala serta perkembangan semasa serantau dan antarabangsa,” kata kementerian luar Turki dalam satu kenyataan.

Lawatan itu dibuat empat hari selepas Menteri Luar Israel Yair Lapid mengucapkan terima kasih kepada Turkiye kerana menggagalkan dakwaan rancangan pembunuhan Iran terhadap rakyatnya di Istanbul.

Minggu lepas, Turkiye menahan lapan individu didakwa sebagai anggota sel Iran yang merancang untuk membunuh warga Israel termasuk seorang bekas duta menjelang lawatan Lapid ke Ankara.

“Kami amat menghargai kerajaan Turkiye atas profesionalisme dan koordinasi bagus ini,” kata Lapid selepas berucap di Ankara pada Khamis.

Pada Jumaat, Iran menafikan dakwaan itu sebagai “tidak berasas”.

“Tuduhan tidak berasas itu… adalah tidak masuk akal dan sebahagian daripada rancangan yang telah dirancang untuk memusnahkan hubungan antara kedua-dua negara Islam,” kata jurucakap kementerian luar Saeed Khatibzadeh dalam satu kenyataan.

Israel minggu lalu menyeru rakyatnya meninggalkan Turki kerana “bahaya nyata” yang datang daripada gerakan operatif Iran. – AFP, 27 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen