Peluru berpandu Russia bedil kediaman di Kyiv, kata datuk bandar


Seorang remaja lelaki berdiri di atas kereta kebal milik tentera Russia yang musnah berhampiran Irpin, wilayah Kyiv, Ukraine. Bandar Irpin di Ukraine serta pekan dan kampung lain di bahagian utara wilayah Kyiv, menjadi medan tempur apabila tentera Russia menyerang wilayah Kyiv dalam usaha untuk sampai ke ibu negara Ukraine. – Gambar EPA, 26 Jun, 2022.

SERANGAN peluru berpandu Rusia ke atas kompleks kediaman di Kyiv hari ini, mencederakan dua orang dan mengakibatkan yang lain terperangkap di bawah runtuhan, kata Datuk Bandar Bandar, Vitali Klitschko.

Empat letupan kedengaran kira-kira jam 6.30 pagi (waktu tempatan), setengah jam selepas siren serangan udara dibunyikan di ibu negara Ukraine itu, yang belum pernah dibom Russia selama hampir tiga minggu.

“Beberapa letupan di daerah Shevchenkivsky,” kata Klitschko di Telegram.

“Ambulans dan penyelamat berada di lokasi. Di dua bangunan, pasukan penyelamatan sedang berusaha memindahkan penduduk,” tambahnya.

Klitschko, yang melawat tempat kejadian, kemudian berkata “ada orang di bawah runtuhan”.

“Sebahagian daripada penduduk dipindahkan, dua orang yang cedera dimasukkan ke hospital,” tambahnya.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan, katanya.

“Dia masih hidup,” katanya di Telegram, sambil menambah pasukan penyelamat cuba “menyelamatkan ibunya”.

Klitschko berkata ia adalah serangan peluru berpandu Russia yang bertujuan untuk “menakut-nakutkan rakyat Ukraine” menjelang sidang kemuncak NATO di Madrid dari 28 hingga 30 Jun.

Menurut perkhidmatan kecemasan negeri “akibat daripada tembakan musuh, kebakaran berlaku di bangunan sembilan tingkat”.

Beberapa pasukan AFP berkata terdapat kebakaran di aras atas bangunan tiga tingkat manakala tangganya musnah terbakar.

Asap tebal kelihatan di kawasan perumahan terjejas, yang dikepung polis.

Seorang rakan sekerja AFP yang tinggal di kompleks kediaman yang sama itu turut mendengar bunyi yang kuat sebelum letupan itu, sama seperti serangan peluru berpandu. – AFP, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen