Kemboja musnah 6 tan dadah haram sempena hari antidadah


Di bawah undang-undang Kemboja, mereka yang disabitkan bersalah mengedar lebih 80 gram dadah boleh dipenjara seumur hidup. – Gambar fail EPA, 26 Jun, 2022.

KEMBOJA membakar lebih 6 tan metrik dadah dan bahan terlarang pada Ahad sempena Hari Antidadah Antarabangsa, kata pegawai.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Sar Kheng membakar bahan terlarang yang dirampas itu pada satu majlis yang diadakan di Pulau Berlian di ibu negara Phnom Penh, lapor agensi berita Xinhua.

“Acara itu jelas menggambarkan kesediaan dan komitmen teguh kerajaan Kemboja untuk mencegah dan menyekat semua bentuk dadah terlarang,” katanya.

Kheng berkata, pihak berkuasa akan memperhebat tindakan keras terhadap semua jenis jenayah dadah dan pengubahan wang haram.

Pendakwaraya Mahkamah Perbandaran Phnom Penh, Chrreng Khmao berkata, kira-kira 6.25 tan metrik dadah dan bahan terlarang meliputi heroin, kokain, methamphetamine, ekstasi, cathinone, ketamin dan nimetazepam dimusnahkan.

Negara Asia Tenggara itu tidak mengenakan hukuman mati bagi pengedar dadah. Di bawah undang-undangnya, mereka yang disabitkan bersalah mengedar lebih 80 gram dadah boleh dipenjara seumur hidup.

Menurut Jabatan Polis Antidadah negara, sepanjang tempoh Januari-Mei 2022, pihak berkuasa menahan 6,168 suspek termasuk 80 warga asing serta merampas 1.58 tan metrik dadah haram. – Bernama, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen