4 negara G7 kenakan sekatan eksport emas ke atas Russia


Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata tindakan bersama yang diambil Britain, Kanada, Jepun dan Amerika Syarikat (AS), secara langsung menyerang oligarki Russia. – Gambar EPA, 26 Jun, 2022.

EMPAT kuasa G7 akan menyekat eksport emas Russia dalam usaha terbaharu kumpulan tersebut menghalang oligarki daripada membeli logam berharga itu bagi mengelak kesan sekatan terhadap Moscow, kata Britain, hari ini.

Tindakan bersama yang diambil Britain, Kanada, Jepun dan Amerika Syarikat (AS), “secara langsung menyerang oligarki Russia dan menyerang di tengah-tengah jentera perang (Presiden Vladimir) Putin,” kata Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.

Beliau berkata, memandangkan peranan utama London dalam perdagangan emas antarabangsa dan tindakan AS, Jepun dan Kanada yang selari, “langkah ini akan mencapai jangkauan global, menutup komoditi itu daripada pasaran antarabangsa rasmi”.

Bernilai 12.6 bilion pound ($15.5 bilion) kepada ekonomi Russia pada 2021, emas – komoditi perlindungan semasa kegawatan – merupakan eksport utama bagi negara itu.

Dengan Putin kini dikenakan sekatan yang teruk, orang terkaya di negara itu bergegas menukar aset mereka kepada emas untuk mengelakkan kesan sekatan kewangan.

Pasaran “London Bullion” menggantung enam kilang penapisan Russia dalam tindakan yang diumumkan pada 7 Mac.

Langkah terbaharu yang menyasarkan komoditi itu dibuat ketika pemimpin Kumpulan Tujuh negara terkaya dunia itu bertemu di pergunungan Alpen Bavaria, dengan perbincangan mereka tertumpu kepada cara mengekalkan sokongan ke atas Ukraine susulan pencerobohan Russia.

G7 dijangka mengambil kira bagaimana sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini diambil terhadap Moscow berkesan setakat ini, membincangkan bantuan kewangan dan ketenteraan lanjut untuk Ukraine, serta melihat pembinaan semula yang lebih lama untuk negara dilanda perang itu. – AFP, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen