Separuh warga Greece bergelut untuk bayar bil bekalan tenaga


62% isi rumah di Greece tidak mampu memanaskan rumah mereka secukupnya pada musim sejuk dan 51% tidak mampu menyejukkan rumah mereka pada musim panas. – Gambar AFP, 26 Jun, 2022.

SEPARUH daripada isi rumah di Greece bergelut untuk mendapatkan keperluan tenaga sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menurut tinjauan.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan Kapa Research pada Mei itu, 62 peratus daripada isi rumah tidak dapat memanaskan rumah mereka dengan secukupnya pada musim sejuk dan 51 peratus lagi tidak dapat menyejukkan rumah pada musim panas, lapor Xinhua.

Sebanyak 36 peratus daripada responden berkata mereka mengurangkan perbelanjaan untuk makanan dan pakaian bagi membayar bil tenaga, manakala tiga daripada 10 isi rumah tidak dapat melunaskan bayaran bil utiliti. 

Di tengah-tengah krisis tenaga antarabangsa, rakyat Greece turut terkesan dengan peningkatan besar kos tenaga sejak kebelakangan ini.

Menurut data terkini dikeluarkan Pihak Berkuasa Statistik Hellenic (Elstat) untuk Mei tahun ini, harga gas asli meningkat sebanyak 172.7 peratus berbanding 2021, harga elektrik sebanyak 80.2 peratus manakala harga minyak sebanyak 65.1 peratus.

Menurut Elstat, kadar inflasi tahunan Greece melonjak kepada 11.3 peratus pada Mei tahun ini, mencecah rekod dalam tempoh 29 tahun. – Bernama, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen