Remaja perempuan hilang, polis minta orang awam salur maklumat


Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222. – Gambar Facebook, 25 Jun, 2022.

POLIS sudah menerima laporan berhubung kehilangan seorang remaja perempuan dikenali sebagai Nur Hidayati Duwaijah Mazlan sejak 20 Jun lepas di Kampung Bandar Dalam, Sentul, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata laporan mengenai kehilangan remaja berusia 17 tahun itu diterima daripada ibunya pada 21 Jun lepas.

Menurutnya siasatan mendapati remaja itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya iaitu sebuah kondominium di Kampung Bandar Dalam pada 7.20 petang.

“Remaja berkenaan dikatakan keluar dari rumah mereka untuk ke kedai dan sehingga kini masih gagal dihubungi,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beh berkata remaja berketinggian kira-kira 145 sentimeter itu berkulit cerah, berbadan sederhana dan kedua-dua matanya berwarna coklat. Kali terakhir dilihat memakai baju berwarna merah serta seluar hitam dan kehilangannya telah dihebahkan melalui Nur Alert.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222. – Bernama, 25 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen