Umno, undi Melayu dan PRU15


SEMINGGU dua ini, pelbagai sampel diambil dengan mengadakan wawancara dengan orang Melayu yang berada di jalanan. Rakyat biasa. Bukan ahli Umno.

Mereka ini nanti yang akan menentukan siapa yang akan diberi mandat untuk memerintah negara, memandangkan terdapat 129 kerusi Parlimen yang merupakan majoriti pengundi Melayu.

Penguasaan kerusi majoriti Melayu ini, akan menentukan siapa bakal dilantik sebagai perdana menteri selepas PRU15 nanti.

Beberapa perkara yang menarik dapat dikenal pasti dalam sampel ini, iaitu:

(i) Rata-rata orang Melayu beranggapan walaupun Umno bersetuju untuk meletakkan Ismail Sabri Yaakob sebagai “poster boy” dan calon bakal perdana menteri, mereka merasakan Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan merupakan tokoh yang masih berminat untuk menjadi perdana menteri selepas PRU 15. Sokongan kepada Ismail Sabri tidak “solid”.

Pemimpin ini sering menekan Ismail Sabri dan sering memperleceh tindakan kerajaan, seolah-olah menggambarkan beliau bukanlah pemimpin yang terbaik, untuk terus dikekalkan sebagai perdana menteri.

(ii) Orang Melayu merasakan pemimpin Umno yang mempunyai pertuduhan jenayah di mahkamah perlu selesaikan kes-kes tersebut dahulu.

Sebagai contoh, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), hampir-hampir kehilangan wang RM4 bilion akibat memberi pinjaman kepada SRC International.

Nasib baik Pengerusi Pelaburan KWAP meletakkan syarat sekiranya pinjaman SRC ini tidak dapat dibayar, kerajaan perlu menjamin dan bayar balik duit KWAP tersebut.

Terbukti sungguh, SRC tidak mampu membayar balik dan kini kerajaan membayar balik hutang RM4 bilion tersebut kepada KWAP dengan menggunakan dana kerajaan.

Ini merupakan duit rakyat.

Contoh kedua, pemimpin Umno yang berhadapan dengan kes mahkamah berkaitan dengan penyalahgunaan wang yayasan juga perlu selesaikan kes-kes tersebut dahulu.

Orang Melayu secara amnya, agak keliru membaca berita di akhbar berkaitan dengan kes ini. Terutama apabila wang yang dimasukkan ke dalam Yayasan untuk tujuan membina, membaiki masjid, surau dan program-program keagamaan lain, bercampur aduk dengan perbelanjaan peribadi seperti membayar hutang kad kredit, cukai jalan, dan insurans peribadi kereta-kereta mewah, membeli hotel di Bali dan lain-lain lagi.

Ditambah pula dengan tuduhan menerima sejumlah besar wang tunai setiap bulan daripada projek visa di China, dengan wang tersebut dihantar ke rumah setiap bulan.

Terkini, terdapat pula tuduhan bahawa ada pemimpin-pemimpin lain juga menerima sejumlah wang ini untuk sumbangan politik.

Berkemungkinan besar ini bertujuan untuk memberikan andaian “delivery” wang ini tidak berlaku.

Berkemungkinan juga, ini bertujuan untuk mematahkan dakwaan pihak pendakwa raya kerana apabila ia melibatkan transaksi wang tunai, tiada bukti yang sahih seperti memasukkan wang dalam akaun (seperti kes SRC), sebaliknya mahkamah hanya bersandarkan kepada kenyataan saksi sahaja.

Apa pun kita tunggu keputusan Mahkamah Tinggi.

(iii) Orang Melayu merasakan keyakinan terhadap pemimpin-pemimpin Umno yang berhadapan dengan kes besar ini semakin terhakis setiap hari.

Kerana itulah, BN dan Umno perlu mencari kaedah agar keyakinan ini dikembalikan kepada 21 juta rakyat yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Kemungkinan ada dua cara yang boleh dilakukan.

Pertama, pemimpin yang berhadapan dengan tuduhan mahkamah, selesaikan kes tersebut dahulu.

Beri peluang kepada PM Ismail Sabri (dari parti Umno juga) meneruskan pentadbiran beliau, dengan agenda memulihkan negara daripada pandemik dan inflasi yang bakal melanda.

Tidak perlu adakan pemilihan Umno dulu kerana ini akan memecahbelahkan parti Umno kepada dua kumpulan.

Pilihan kedua, tunggu kes mahkamah ini selesai, kalau betullah mereka tidak bersalah pasti mahkamah akan membawa keputusan tidak bersalah.

Sekiranya tidak bersalah, pemimpin-pemimpin ini boleh meneruskan agenda politik masing-masing. Tetapi sekiranya didapati bersalah, mereka perlulah mengundurkan diri. Selamatkan imej dan nilai-nilai perjuangan parti yang mahukan parti dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang bersih.

(iv) Orang Melayu juga amat mengerti bahawa ketika pemimpin-pemimpin ini berkuasa, sedikit sebanyak akan melakukan kesilapan di sana dan di sini.

Manakala parti politik pula memerlukan dana yang besar terutama ketika berhadapan dengan pilihan raya. Amat sukar untuk mengasingkan wang untuk dana politik dan wang untuk kegunaan peribadi. Segala-gala berada di satu garisan yang amat tipis.

Akhirnya, PRU15 bakal menjelma. Rakyat terutama orang Melayu akan membuat keputusan sama ada Umno-BN akan diberi mandat semula untuk memerintah negara ini, atau orang Melayu mahu mencuba nasib dengan parti baharu iaitu Perikatan Nasional iaitu Bersatu dan PAS.

Atau akibat perpecahan undi orang Melayu, ada kemungkinan Pakatan Harapan akan kembali memerintah Putrajaya semula. – 25 Jun, 2022.

* Saiful Bahar, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen