ezAuto.My tawar platform jual kereta kepada pembida tertinggi


Noel Achariam

Presiden Persatuan Persekutuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia Tony Khor berkata menerusi ezAuto.My, penjual akan mendapat pilihan harga terbaik daripada syarikat pengedar kereta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Jun, 2022.

MEREKA yang berhasrat untuk menjual kenderaan masing-masing berpeluang mendapat harga terbaik di ezAuto.My di mana syarikat menjual kereta saling membuat bidaan bagi kenderaan yang hendak dijual.

Presiden Persatuan Persekutuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia Tony Khor berkata menerusi platform itu, penjual akan mendapat pilihan harga terbaik daripada syarikat pengedar kenderaan.

Sebagai contoh, katanya jika sesebuah kereta dijual pada harga RM10,000, peniaga kemudian akan perlu membida untuk membeli kereta itu.

“Bidaan bermula pada RM100 dan boleh naik hingga RM500 atau lebih. Jadi, peniaga akan dapat lebih untuk kenderaan mereka, berbanding harga yang mereka tetapkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Khor berkata platform itu dilancarkan pada 2020 tetapi berikutan pandemik Covid-19, perkhidmatan mereka terpaksa dihentikan sementara.

Katanya, mereka membangunkan semula platform itu enam bulan lalu, dan menerima purata 80 kenderaan untuk dijual setiap hari.

“Platform ini berguna untuk mereka yang hendak menjual kenderaan secara atas talian,” katanya.

Khor berkata 4,700 syarikat pengedar kereta di bawah persekutuan itu di seluruh negara boleh membida kenderaan.

“Menerusi platform ini, syarikat pengedar kereta akan diberi peluang yang adil untuk membida kenderaan.

“Dengan cara ini, penjual tidak perlu melalui pembeli pihak ketiga dan boleh terus menjualnya kepada pengedar.”

Berkenaan perkhidmatan yang disediakan, Khor berkata sebaik saja pelanggan mendaftar di laman web itu, mereka boleh mula menjual kenderaan masing-masing.

Katanya, langkah pertama ialah pemeriksaan dan penilaian kereta secara percuma bagi memastikan peniaga mendapat harga terbaik.

“Dalam tempoh 24 jam pemeriksa kenderaan bertauliah akan menghubungi penjual dan bertemu di mana-mana yang mudah untuk mereka.

“Boleh di pasar raya atau di rumah, atau penjual juga boleh dapat buat pemeriksaan di mana-mana daripada 36 pusat ezAuto di seluruh negara.

“Kemudian kita akan mengumpul maklumat dan memuat naik ke laman web keesokan harinya.”

Khor berkata sebaik saja spesifikasi kenderaan, pemeriksaan dan gambar dimuat naik, syarikat pengedar kereta akan memulakan bidaan.

“Bidaan akan berlangsung tujuh hari. Ia akan bermula dari 10 pagi hingga 3.30 petang. Jika ada bidaan pada hari pertama kita akan beritahu penjual.

“Sebaik saja bidaan tamat, penjual akan diberikan 48 jam untuk buat keputusan. Tidak ada komitmen, kerana penjual boleh saja batalkan jualan.”

Beliau berkata penjual juga boleh gunakan platform itu untuk menguji berapa nilai kenderaan mereka.

“Jika penjual meletakkan harga RM40,000 untuk kenderaan mereka dan memperoleh bidaan RM43,000, mereka boleh tarik diri jika tidak berminat. Tidak ada caj dan semua perkhidmatan adalah percuma,” katanya. – 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen