Apa nilai PKR selepas PRU15?


DALAM sebuah forum atas talian baru-baru ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata PKR hanya mahu fokus untuk mempertahankan kerusi-kerusi Parlimen sedia ada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu menurut Fahmi, PKR juga akan cuba mendapatkan kembali kerusi yang hilang disebabkan Langkah Sheraton pada 2020.

Langkah Sheraton menyebabkan PKR hilang 10 kerusi dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 22 bulan tumbang.

“Keutamaan kami adalah mempertahankan apa yang kami ada dan kemudian mencari jalan untuk memenangi kembali kerusi yang berpaling tadah,” kata Fahmi seperti yang dilaporkan The Malaysian Insight.

“Oleh itu, kita perlu mencari jalan untuk mengekalkan apa yang kita ada dan kemudian keluar dan melihat bagaimana untuk memenangi semula Gombak, Ampang, Batu Pahat, Tebrau dan lain-lain.”

Melihat kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini, agak sukar bagi PKR untuk mempertahankan kerusi mereka terutama di kawasan bercampur atau pengundi bukan Melayu bukan majoriti.

PRN Johor menyaksikan PKR yang menggunakan logo sendiri dan bukannya logo PH, memenangi hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bukit Batu melalui Arthur Chiong Sen Sern dengan majoriti tipis 137 undi.

Di Melaka lebih teruk lagi, PKR kalah di kesemua 11 kerusi DUN yang ditandinginya. Apa yang boleh dilihat dalam PRN Melaka dan Johor ialah PKR dan PH tidak mempunyai sokongan daripada pengundi Melayu.

Walaupun ramai yang berhujah PRN bukanlah gambaran sebenar sesuatu PRU, akan tetapi tidak akan ada banyak perbezaan dari segi trend pengundian.

Apabila Bersatu keluar dari PH dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN), ia turut membawa sekali undi Melayu yang diperolehi gabungan diketuai Anwar Ibrahim itu pada PRU14.

Perkara ini dinyatakan sendiri Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Bekas menteri pertahanan itu berkata keluarnya Bersatu daripada PH menyebabkan gabungan itu kalah dalam PRN Melaka.

“Jika (undi diperolehi Bersatu) dicampur dengan undi popular yang diterima oleh PH iaitu sebanyak 114,457, ianya akan berjumlah 147,457 berbanding BN yang hanya memperolehi 122,741 undi,” katanya selepas PRN Melaka.

Sekiranya PRU15 diadakan dalam jangkamasa terdekat, BN dijangka menang mudah akibat perpecahan dalam kalangan PH dan PN.

PH disokong pengundi bukan Melayu tetapi tidak mendapat sokongan pengundi Melayu.

Sementara PN berjaya menarik sejumlah undi Melayu dari BN akan tetapi tidak mendapat sokongan yang signifikan daripada pengundi bukan Melayu.

PKR dan Amanah tidak memberikan tambahan nilai kepada PH pada PRU15.  Mereka hanya akan memenangi beberapa kerusi Parlimen atas ihsan DAP.

Hanya DAP akan dapat mengekalkan kebanyakan kerusi mereka.

Sekiranya ini berlaku, PH sendiri akan terkubur kerana gabungan itu hanya mendapat sokongan bukan Melayu akan tetapi tidak mendapat sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera yang merupakan majoriti di negara ini.

Yakinkah Fahmi kerusi Parlimen Lembah Pantai dapat dipertahankan sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan PN?

Bagaimana pula dengan nasib Nik Nazmi Nik Ahmad di Parlimen Setiawangsa?

Apa akan terjadi di kerusi PKR di Wangsa Maju?

Selepas PRU15, apakah nilai PKR kepada PH? Perlukah DAP terus bekerjasama dengan mereka?

Perlukah DAP terus memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu seperti Parlimen Pandan dan Petaling Jaya?

Bukankah lebih baik DAP meletakkan calon di kerusi seperti ini?

BN tidaklah begitu kuat akan tetapi penentangnya berpecah. – 23 Jun, 2022.

* Kamarul Khairy adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen