Buku teks digital untuk pelajar sekolah dalam tempoh percubaan


Selain dapat menyelesaikan isu beg berat, penggunaan buku teks digital akan menjadikan pelajar lebih berinteraktif, kata Timbalan Menteri Chong Sin Woon mengenai buku teks digital itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2018.

BUKU teks digital, yang sedang dibangunkan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), masih dalam tempoh percubaan.

Timbalan Menterinya Chong Sin Woon berkata pihak KPM sedang mengkaji kesesuaian perisian yang akan digunakan buku teks digital itu, bagi membolehkan ia menggantikan buku teks bercetak yang sedang digunakan pelajar buat masa ini.

“Selain dapat menyelesaikan isu beg berat, penggunaan buku teks digital akan menjadikan pelajar lebih berinteraktif.

“Bagaimanapun kita sedang menunggu impaknya dan kita akan lihat sama ada ia berbaloi atau sesuai untuk dilaksanakan sepenuhnya kerana ia melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PersatuanGabungan Keturunan Cina Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Turut hadir Pengerusi MCA Negeri Sembilan Lim Chin Fui.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan MCA negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Chong berkata persiapan partinya berada dalam prestasi terbaik.

“Kalau nak dibandingkan dengan PRU lepas, kali ini kita jauh lebih bersedia untuk menghadapi PRU14. Kita mempunyai satu barisan kepimpinan yang baharu, muda dan dinamik bawah kepimpinan Lim.

“Kita sering mengadakan perbincangan, bengkel dan mesyuarat untuk merapikan lagi kerja-kerja kempen parti,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai video klip kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee yang berjudul “Like A Dog” baru-baru ini, beliau berharap semua pihak dapat bertenang dan menyerahkan sepenuhnya kepadapihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk melakukan siasatan terperinci.

“Saya masih belum melihat video itu, bagaimanapun saya menyeru rakyat Malaysia untuk menghasilkanvideo yang dapat memberi mesej positif,” katanya. – Bernama, 19 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen