Undi Melayu tetap jadi penentu PRU15


SEJAK akhir-akhir ini kita selalu dengar rungutan bahawa politik dan ahli politik hari ini meloyakan, memualkan dan membosankan. Rakyat sudah bosan dengan politik.

Ada ahli politik meminta penyokong bola diam ketika menonton di stadium. Ada juga pelawak sarkas dihantar ke negara yang bakal menjadi kuasa ekonomi keempat dunia.

Ada kisah pemimpin parti besar negara menerima ratusan ribu ringgit setiap bulan sebagai suapan dan ada pemimpin menyembur air pada tahi cicak dan burung ketika rakyat kalut ditenggelami lumpur paras pinggang.

Ada seribu satu kisah aneh dan lucu yang terpaksa ditonton oleh rakyat. Betapa kotor dan jijik ahli politik ini dan betapa bodohnya orang yang menyokong mereka.

Namun realitinya, saban tahun, setiap pilihan raya, ahli politik ini dan tokoh seangkatan mereka tetap diangkat menjadi pemimpin negara.

Berdasarkan data pilihan raya sebelum 2021 dan juga pilihan raya negeri Melaka dan Johor, semua penganalisis hampir bersetuju pada suatu fakta yang bakal menjadi realiti.

Rejim yang pernah memerintah selama 60 tahun akan kembali.

Umno dan pemimpin mereka (atau kita), yang terpalit dengan kes kleptokrasi, rasuah mega, dan budaya politik wang akan kembali memerintah. Ada yang mungkin bertanya, mana mungkin?

Perkara ini bakal berlaku melalui sistem pilihan raya yang memberi kemenangan kepada calon dengan undi paling banyak.

Apa yang nyata, 23% yang mengundi Barisan Nasional (BN) di Johor (daripada jumlah keseluruhan pengundi) adalah pengundi tradisi. Golongan ini meliputi penyokong tegar atau yang pernah mengundi parti tersebut.

BN hanya mendapat 0.85% tambahan sokongan pengundi dari seluruh Johor, berbanding pilihan raya 2018.

Dengan jumlah pengundi yang sama pada 2018, BN sebenarnya kalah teruk dalam pilihan raya dan hanya menang 19 dari 56 kerusi di Johor.

Namun dengan peratus yang sama (23% undi inilah), mereka kini boleh mendapat dua pertiga majoriti dalam kerajaan Johor dan Melaka.

Apa jadi dengan pengundi lain? Maka heboh seluruh buana Malaya pekikan pembangkang ketika itu, bahawa kerajaan BN ditubuhkan dengan undi minoriti, dan tidak mewakili seluruh rakyat Johor.

Ketika itu pembangkang lupa satu prinsip demokrasi yang penting – satu undi yang tidak dilaksanakan sebenarnya satu undi kepada pemenang.

Keengganan hampir 45% enggan keluar mengundi bermaksud, 45% rakyat menolak pembangkang.

Ini juga yang dijangkakan bakal berlaku dalam PRU15 yang akan datang. Kesannya, kumpulan 23% pengundi tradisi akan mengembalikan BN menjadi kerajaan.

Sebahagian penyokong berani mati pembangkang dari tiga belahan parti politik gagal menerima kenyataan ini.

Satu belah ini dari Perikatan Nasional yang merupakan pembangkang separuh kerajaan, Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya dan satu lagi saya gelar Kumpulan Parti Politik Kancilan yang terdiri dari Warisan, Pejuang, Putra, Iman dan PSM.

Sebahagian penyokong ini menyelar betapa bodohnya rakyat untuk memilih parti kleptokrat. Padahal merekalah yang bodoh dan sombong.

Mereka ini gagal memahami kehendak dan kemahuan rakyat. Tidak dinafikan sebahagian lagi agen perubahan dari kumpulan ini yang ikhlas dan bijaksana memahami bahawa rakyat tidak bodoh.

Namun mereka juga buntu untuk menghadapi masa depan.

Satu formula mudah, pembangkang perlu bergerak dalam kesatuan besar  dan bertanding satu lawan satu menentang barisan kleptokrat dan barisan kluster mahkamah.

Formula ini mudah dikumandangkan, namun kenyataannya tidak semudah itu. Inilah salah satu faktor rakyat berasa loya dengan pembangkang.

Bagi mereka, pembangkang gagal mencipta formula magis untuk satu penyatuan pembangkang. Namun malangnya, penyatuan pembangkang ini hampir mustahil akan berlaku.

Mudahnya, majoriti orang Melayu tidak boleh menerima DAP atau menerima kembali DAP. Sebahagian rakyat tidak boleh menerima Anwar Ibrahim atau sudah bosan dengan Anwar Ibrahim atau PKR atau kedua-duanya.

Sebahagian PH dan mungkin sebahagian besar PKR dan penyokongnya juga tidak boleh menerima kembali Dr Mahathir Mohamad.

Majoriti penyokong PH mahupun penyokong Dr Mahathir tidak akan dapat menerima Muhyiddin Yassin dan Mohamed Azmin Ali untuk memimpin mereka.

Majoriti penyokong pembangkang masih tidak mampu menerima pilihan alternatif – Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Abdul Rahman, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli.

Sebagaimana kuat pun dipromosi penyokong fanatik masing-masing, penerimaan ini hampir tidak akan berlaku.

Usaha menangani persepsi pihak lain akan mengambil masa yang terlalu lama.

Malangnya untuk semua, PRU15 akan berlaku bila-bila masa sahaja lagi sewaktu pembangkang masih mencari khemah lebih baik atau keldai lebih sohor untuk memimpin mereka.

Ada kenyataan besar yang saya rasakan gagal dijawab oleh 65% rakyat yang tidak mahu menyokong barisan kleptokrat dan barisan kluster mahkamah ini.

Ini bagi saya juga kegagalan besar yang tidak dapat difahami oleh sebahagian besar pemimpin PH ketika memerintah kerajaan.

Pembangkang mengimpikan pertambahan besar pengundi muda (baca pengundi 18 tahun) akan dapat menafikan kepentingan dan kegagalan mereka dalam menangani masalah utama ini.

Namun data PRN Melaka dan Johor sekali lagi menafikan bahawa pengundi muda bukanlah faktor penentu paling utama.

Seramai 65% pengundi, pembangkang dan ejen perubahan gagal memahami bahawa sokongan pengundi Melayu masih lagi faktor penentu kepada siapa yang akan memerintah negara ini.

Jika kumpulan ini tidak disantuni, pembangkang tidak akan mendapat undi dan tidak akan menang. Ini bakal menyajikan kemenangan percuma kepada BN.

Oleh itu, usaha menyelesaikan masalah politik Melayu akan menyelesaikan masalah negara kerana bangsa bukan Melayu, khususnya kaum Cina pada hari ini sudah jelas dengan pilihan mereka.

Sepertimana dilihat dalam data PRN Johor dan Melaka, peratusan undi pada DAP hampir tidak berubah. Namun sokongan pada PKR dan Amanah jauh menguncup.

DAP akan dapat mengekalkan kerusi mereka di Pulau Pinang dan kawasan bandar utama. Malah kemenangan Muda, Amanah mahupun PKR, hampir kesemuanya datang dari penyokong DAP, bukan pun faktor pengundi muda.

Walaupun begitu, tanpa sokongan Melayu di 50 kerusi PH (baca majoriti DAP), kerajaan tidak akan dapat dibentuk.

MCA dan MIC mungkin ingin menegaskan mereka ada kemajuan mutakhir ini, namun kenyataannya, ia masih jauh dari cita-cita untuk kembali menjadi parti pilihan utama bangsa mereka.

Pandangan saya, hampir semua 40 lebih kawasan milik DAP hampir pasti akan kekal, termasuk Pulau Pinang.

Dalam kes Sarawak pula, majoriti GPS tidak perlu dipertikaikan lagi dan formula Sarawak untuk Sarawak berjaya menambat hati rakyat negeri itu.

Pertikaian, pertembungan dan keutamaan hari ini adalah kepada pengundi Melayu dan kawasan majoriti lebih 60% Melayu.

Pertandingan di kawasan inilah yang sebenarnya akan menentukan masa depan Malaysia dan ke mana masa depan negara ini. – 19 Jun, 2022.

* Nizam Mahshar pernah memimpin beberapa badan strategik dan pemikir dan arkitek kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030). Beliau pernah menjadi ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, memimpin Majlis Tindakan Ekonomi Melayu dan beberapa gerakan rakyat dalam isu nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen