Hishammuddin ‘sombong dan bongkak’, kata PKR 


Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein (tengah) seharusnya bersikap rasional mendengar pandangan pihak yang lebih berpengalaman dan arif dalam bidang ketenteraan bukannya mengecam mereka apabila mereka mengutarakan pendapat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2018.

PKR mengecam Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein sebagai “sombong dan bongkak” kerana memperlekehkan teguran seorang veteran tentera berhubung kegagalan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Hishammuddin seharusnya bersikap rasional mendengar pandangan pihak yang lebih berpengalaman dan arif dalam bidang ketenteraan bukannya mengecam mereka apabila mereka mengutarakan pendapat. 

“Mereka bersuara kerana mereka inginkan yang terbaik kepada negara terutamanya pembangunan jati diri di kalangan generasi muda,” kata ahli Parlimen Bukit Katil itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Apakah kecaman yang dilakukan oleh Hishammuddin itu adalah satu gertakan kepada mana-mana anggota dan bekas perajurit jika mereka bersuara?”

Pada satu sidang media 14 Februari lalu Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengumumkan penganjuran bengkel untuk belia dan berikrar melakukan kerja yang lebih baik dalam menyemai semangat penyatuan dan patriotik berbanding PLKN.

Ahli Patriot, Mejar (B) Ismail Jr Feisol berkata kem PLKN sekarang dikendalikan “seperti kem percutian” oleh jurulatih yang dipersoalkan semangat cintakan negaranya.

Mengulas kenyataan itu, Hishammuddin menyelar Patriot dan mengatakan pertubuhan itu sebagai penentang kerajaan.

Shamsul hari ini berkata, kenyataan Hishammuddin itu sudah pasti akan mengguris hati para bekas perajurit dan merendahkan jasa dan bakti mereka mempertahankan keamanan negara. 

“Pesan saya kepada Hishammuddin jangan perlekeh suara bekas tentera!”

Patriot merupakan sebuah pertubuhan yang dianggotai bekas tentera dan polis. 

Selain memperjuangkan nasib golongan veteran tentera dan polis, Patriot juga konsisten dalam memperjuangkan Malaysia yang harmoni serta bebas daripada fanatisme kaum dan agama. – 19 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen