Parti politik perhebat serangan media sosial menjelang PRU14


Barisan Nasional terutama parti utamanya, Umno yang menyedari kelewatan mereka menyertai perang media sosial dalam pilihan raya lepas kini memperhebat serangan menangkis perkara yang dianggap mereka 'berita palsu' menjelang PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2018.

PARTI politik kerajaan dan pembangkang sedang memperhebat serangan media sosial bagi memenangi hati pengundi muda, kelompok yang dipercayai banyak pihak akan menentukan keputusan pilihan raya umum akan datang, lapor akhbar Straits Times.

Gabungan parti pemerintah, Barisan Nasional yang terlewat menyertai kempen media sosial pada pilihan raya lepas, sudah mula menyebarkan mesej dari pelbagai sumber termasuklah akhbar arus perdana dan saluran televisyen sehinggalah kepada Facebook, Instagram dan Twitter.

“Menjelang pilihan raya, lebih banyak berita palsu akan muncul,” kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun kepada akhbar harian dari Singapura itu.

“Saya ada peraturan yang jika kita tidak tangkis apa sahaja dakwaan salah kepada kita dalam masa tiga jam, kita sudah gagal.”

Parti itu juga sudah menggerakkan ribuan “cyber-trooper” muda bagi menentang mesej anti kerajaan dalam media sosial serta mendekati pengundi muda dalam umur antara 21 hingga 30 tahun yang membentuk 45% keseluruhan jumlah pengundi Malaysia.

BN dan Pakatan Harapan (PH) percaya yang pengundi muda mempunyai pengaruh besar dalam menentukan kemenangan mereka dalam PRU14 yang perlu diadakan menjelang Ogos tahun ini.

Bagaimanapun, mendekati dan menarik minat pengundi muda ini adalah cabaran besar kerana bukti menunjukkan lebih empat juta pengundi berusia antara 21 hingga 30 tahun masih belum mendaftar sebagai pengundi.

“Anak mudalah yang akan menentukan siapa akan menjadi kerajaan pemerintah dan membuat dasar…kerana itu, kami berhabis-habisan di media sosial,” kata Dzulkarnain Taib, presiden dan ketua eksekutif Yayasan Media Hebat, sebuah yayasan pro-BN di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Cara kita respons boleh ubah situasi.”

PH yang tidak menerima banyak liputan di media arus perdana dilihat lebih berpengalaman daripada BN dalam mendekati pengundi menerusi media sosial.

“Kami tentu sekali akan menggunakan semua media sosial dan akan menangani laporan tidak tepat bila perlu,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Berdasarkan jumlah pengikut dan “likes” di Facebook, Umno boleh dianggap berada terkedepan, kata Ahmed Kamal Nava, pengasas syarikat penganalisis media sosial, Politweet.

“Umno kekal parti paling popular dengan empat juta pengikut, bertentangan dengan persepsi yang pembangkang lebih popular,” katanya seperti dipetik akhbar itu.

Perdana Menteri Najib Razak, 64, mempunyai hampir 3.4 juta pengikut di Facebook berbanding Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang hanya mempunyai 2.5 juta pengikut.

Tetapi sama ada “likes” atau pengikut itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi adalah perkara lain.

Politweet percaya BN dan PH bakal berdepan cabaran besar memenangi hati pengundi muda tanpa mengambil kira berapa banyak mereka belanjakan dalam kempen media sosial.

“Apa yang saya boleh katakana adalah minat politik anak muda sudah jatuh, jadi kedua-dua pihak (BN dan PH) akan berdepan masalah mendekati mereka.” – 19 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • dlm keghairahan semua parti politik memperkasakan serangan di media sosial, perlu diingatkan bahawa segala serangan atau isu yg diketengahkan harus tepat & benar..bukannya persepsi atau andaian mereka semata-mata..ia kerana teruk kesan atau akibat dari penyebaran berita fitnah atau palsu..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan