Kerajaan bina projek saliran RM12 juta di Teluk Kalong


Lebih 2,000 penduduk di RMM Teluk Kalong sering dilanda masalah banjir setiap kali berlaku hujan lebat dengan situasi terburuk pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2022.

SATU projek saliran baharu bernilai RM12 juta akan dibina di Teluk Kalong dekat Kijal bagi mengurangkan impak kemusnahan akibat banjir pada masa akan datang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Hanafiah Mat berkata projek yang dibiayai oleh kerajaan pusat itu akan dimulakan September tahun ini.

“Ia akan dibina berhampiran kawasan perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong dan tender projek akan dikeluarkan pada Julai depan.

“Kerja pembinaan dijangka mengambil masa tujuh bulan dan apabila siap kelak, harap masalah banjir di sekitar Teluk Kalong dapat diminimumkan kerana aliran air ke laut akan bertambah lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah dan Ladang Kelapa Sawit Peneroka Felda Neram 2 yang disempurnakan Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar di Chukai, hari ini.

Hanafiah yang juga pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata projek tersebut mendapat kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar.

Untuk rekod, lebih 2,000 penduduk di RMM Teluk Kalong sering dilanda masalah banjir setiap kali berlaku hujan lebat dengan situasi terburuk pada 2020. – Bernama, 13 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen