Bukan semuanya indah di Malaysia, kata Shafie


Jason Santos

Jangan terpedaya dengan propaganda BN sedangkan hakikatnya rakyat semakin susah, kata Shafie Apdal hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2018.

SHAFIE Apadal meminta rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan propaganda Barisan Nasional yang semuanya indah di Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Warisan itu berkata BN sedang melakukan apa sahaja bagi menidakkan keadaan sebenar negara.

Menurutnya lagi, BN juga memberikan gambaran indah semata kepada penduduk luar bandar mengenai Malaysia menerusi media yang dikawalnya.

“Maklumat tentang semua perkara, daripada berita ekonomi, pelbagai projek mega yang dilaksanakan sehingga kepada turun naik harga minyak dikawal,” katanya pada sambutan Tahun Baru Cina di Sandakan hari ini.

“Tetapi, realitinya penduduk kampung menderita. Harga barang tak turun-turun.

“Ketika BN beri bantuan duit kepada rakyat (menerusi BRIM), orang Malaysia sebenarnya bayar lebih banyak berbanding apa yang mereka dapat disebabkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), cukai pendapatan dan macam-macam lagi cukai lain,” katanya.

Shafie memberikan misalan harga minyak mingguan sebagai gambaran tidak tepat mengenai situasi sebenar di Malaysia.

“Jika harga minyak naik satu sen, tak akan ada berita atau dibincangkan dalam televisyen, tetapi bila turun, ia akan ditayangkan (sebanyak mungkin) untuk beri gambaran kepada rakyat semuanya baik-baik.

“Ini jauh daripada kebenaran sebenar. Lihat sahaja di Sandakan, ramai orang tak ada kerja…banyak kedai ditutup dan ia (tutup) bukan disebabkan Tahun Baru Cina,” katanya.

Shafie malah berkata RM16 bilion yang diperuntukkan untuk Lebuh Raya Pan Borneo juga dimomokkan sebagai “hadiah untuk orang Sabah” oleh Perdana Menteri Najib Razak walaupun ia sepatutnya adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan dalam pembangunan Sabah.

Shafie juga mengatakan walaupun Putrajaya melaungkan yang berbilion ringgit masuk ke Malaysia menerusi pelaburan asing, tidak ada berita tentang berapa banyak perniagaan asing yang keluar dari negara ini.

Tiada juga berita tentang penduduk Sabah yang terpaksa meninggalkan negeri itu untuk bekerja di kilang minyak masak di Semenanjung Malaysia, sedangkan Sabah adalah pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di negara ini, katanya.

“Kita adalah pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di negara ini, tetapi minyak kelapa sawit mentah dihantar ke tempat lain untuk diproses.”

Sepatutnya industri sebegitulah yang perlu dibangunkan di Sabah, katanya lagi, supaya penduduk Sabah boleh mengisi pekerjaan dalam industri itu.

Perkara yang sama juga perlu dilakukan untuk industri lain seperti perikanan dan penyelaman yang ketika ini lesennya perlu dimohon di Semenanjung Malaysia.

“Kita tak mahu orang Sabah pergi ke Kuala Lumpur untuk dapatkan lesen seperti itu. Warisan jika berjaya bentuk kerajaan, akan pastikan semua lesen dikeluarkan negeri. Kita tak perlu kerajaan Persekutuan kawal semua perkara seperti pengeluaran permit,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu juga mendakwa, kumpulan etniknya- Bajau- turut digunakan untuk menyerang partinya.

Beliau memetik kenyataan Menteri Luar Anifah Aman yang mendakwanya mempunyai hubungan dengan Kesultanan Sulu dan menggelarkan Warisan sebagai parti lanun.

“Saya tak tahu bagaimana mereka boleh capai kesimpulan sebegitu. Tetapi ia hanya tunjukkan yang BN melihat Warisan sebagai ancaman terbesar kepada kekuasaannya di Sabah.

“Hakikatnya, lebih ramai orang Kadazandusun dan Cina dalam kepimpinan Warisan. Saya satu-satunya Bajau dan jika mereka mahu gulingkan, mereka boleh buat bila-bila masa,” katanya. – 18 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen