Terengganu muktamad tidak sertai perjanjian PAAB, kata MB


Ahmad Samsuri Mokhtar berkata arahan sudah diberi kepada semua agensi kerajaan negeri supaya tidak mengadakan perbincangan lagi mengenai perkara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2022.

KEPUTUSAN Terengganu untuk tidak menyertai perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) muktamad.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata arahan sudah diberi kepada semua agensi kerajaan negeri supaya tidak mengadakan perbincangan lagi mengenai perkara berkenaan selepas ini.

“Keputusan kita muktamad. Aset kerajaan negeri masih lagi dengan kerajaan negeri, jadi tidak ada apa-apa yang nak dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Emas 50 tahun Yayasan Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Terengganu satu-satunya negeri di Semenanjung yang masih belum menyertai perjanjian dengan PAAB ketika ini.

PAAB milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada 2006 dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, yang membantu kerajaan Persekutuan merealisasikan pelan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara.

Ia juga syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung dengan kadar pembiayaan berdaya saing. – Bernama, 29 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen