Tindakan Zuraida tinggalkan Bersatu sudah dijangka, kata Wan Saiful


Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata biro politik parti telah mengambil ketetapan mengenai kedudukan Zuraida Kamaruddin dalam parti dan juga sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab setelah meneliti tindak tanduk beliau yang terkini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2022.

BERSATU sudah memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap Zuraida Kamaruddin sebelum pengumumannya hari ini berhubung keputusan meninggalkan parti itu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia, kata Wan Saiful Wan Jan.

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata biro politik parti telah mengambil ketetapan mengenai kedudukan Zuraida dalam parti dan juga sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab setelah meneliti tindak tanduk beliau yang terkini.

“Kerana itulah, bagi saya, tindakan Zuraida bukan satu perkara mengejutkan kerana ia memang telah dijangka.

“Dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, nampaknya Zuraida bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Zuraida mengumumkan beliau memutuskan untuk menyertai PBM, dan akan bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Jawatan kementerian itu diperuntukkan kepada Bersatu.

Wan Saiful berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan memutuskan pengganti Zuraida dalam Kabinet.

Zuraida sebelum ini keluar daripada PKR dan menyertai Bersatu sekali gus mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Dalam kenyataannya, beliau berkata beliau dan PBM menyokong kerajaan hari ini di bawah Ismail Sabri.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Zuraida akan meninggalkan Bersatu untuk meneyertai PBM, mencetuskan desakan agar bekas pemimpin PKR itu dipecat.

Zuraida menyandang kerusi Ampang selama 14 tahun. Semasa bersama PKR pada 2018, beliau dilantik sebagai menteri perumahan dan pembangunan tempatan, jawatan yang disandangnya sehingga kejatuhan Pakatan Harapan pada 2020 akibat Langkah Sheraton.

Beliau kini berada di Turki untuk persidangan antarabangsa dan akan kembali pada 2 Jun, dan akan bertemu perdana menteri selepas itu. – 26 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen