Pendakwaan mohon semak keputusan lepas tanpa bebas Long Tiger


PIHAK pendakwaan hari ini memohon untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret Tangkak yang melepas tanpa membebaskan Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid atas pertuduhan melakukan pemerasan.

Permohonan itu dikemukakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muar Abu Bakar Katar yang kemudiannya menetapkan 1 Jun untuk keputusan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dalam hujahannya berkata pada 17 Mei lalu, peguam Shaharudin Ali yang mewakili Abdul Hamim, 33, memohon supaya anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan atas alasan pengadu atau saksi pertama pendakwaan sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, meskipun pengadu meninggal dunia atau masih hidup, prosiding tetap berjalan melainkan pertuduhan tidak lengkap, tidak jelas maksudnya atau tertuduh tidak tahu dia dituduh atas kesalahan tertentu.

Shaharudin pula berhujah sekiranya pengadu meninggal dunia, bagaimana untuk membuktikan kes berkenaan.

Pada 6 Mei 2020, Abdul Hamim didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Luqman Hakeem Othman, 20, dengan cara akan membuat laporan polis bahawa pengadu (Luqman Hakeem) melakukan hubungan seks bersama perempuan di bawah umur dan memaksa isteri pengadu menggugurkan laporan polis berhubung satu kes terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bukit Gambir, Tangkak, antara 7 malam hingga 9 malam, Oktober 2019 mengikut Seksyen 388 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Luqman Hakeem yang juga bekas pekerja Abdul Hamim terbabit dengan kemalangan jalan raya di Tangkak dan meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 23 Mac lalu.

Pada 17 Mei lalu, media melaporkan Mahkamah Majistret Tangkak melepas tanpa membebaskan Abdul Hamim daripada pertuduhan pemerasan berikutan permohonan peguam susulan Luqman Hakeem meninggal dunia semasa perbicaraan kes itu berlangsung.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Tangkak menolak permohonan Shaharudin supaya anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan mengugut Luqman Hakeem mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan mengurung mengikut Seksyen 342 atas alasan pengadu sudah meninggal dunia.

Selain tiga pertuduhan itu, pada 8 Ogos tahun lalu, Abdul Hamim yang juga lelaki etnik Rohingya turut didakwa merogol seorang wanita pada 26 September 2019 mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Abdul Hamim yang melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak pada Disember tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah sama, selepas mengaku bersalah dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia. – Bernama, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen