7 inisiatif tambah baik LRT laluan Kelana Jaya, kata menteri


Kemalangan membabitkan dua tren LRT laluan Kelana Jaya tahun lalu mengakibatkan 213 penumpang cedera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

TUJUH inisiatif jangka panjang penambahbaikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya daripada 23 inisiatif sedang giat dijalankan dan mengikut jadual yang dijangka siap akhir tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata, peruntukan RM450 juta untuk inisiatif penambahbaikan adalah bagi meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan penumpang susulan insiden perlanggaran tren LRT dalam terowong laluan Kelana Jaya pada 24 Mei tahun lalu.

“Daripada RM450 juta, sebanyak 80% atau RM350 juta adalah untuk sistem pengesanan tren elektronik ‘time-out’ dan tren boleh dikesan dari jauh. Laluan Kelana Jaya menggunakan sistem lama dan ia perkara utama yang diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung kemajuan pelaksanaan 23 inisiatif penambahbaikan untuk laluan Kelana Jaya oleh Prasarana Malaysia Bhd di Putrajaya hari ini.

Selain itu, inisiatif jangka panjang juga antaranya kursus latihan dan pensijilan semula secara berkala bagi mengekalkan kecekapan pengawal pusat kawalan operasi (OCC dan hostler); melaksanakan kajian dan penilaian RAMS (kebolehpercayaan, ketersediaan, penyelenggaraan dan keselamatan) ke atas sistem tren dan aset Prasarana dan Rapid Rail serta memperkenalkan ‘hot button’ untuk mempermudahkan kawalan OCC ke atas tren semasa situasi kritikal.

Wee berkata, daripada 23 inisiatif itu, 16 inisiatif jangka pendek dan sederhana disiapkan sepenuhnya malah tiga lagi langkah penambahbaikan turut dilaksanakan.

Ia membabitkan pemasangan kamera litar tertutup di dalam OCC yang siap pada Julai 2021, meningkatkan tahap boleh lihat penanda sektor landasan dan pemasangan papan tanda di dalam terowong yang siap pada November 2021 dan menaik taraf sistem komunikasi radio kepada digital sepenuhnya yang akan bermula pada suku keempat tahun ini.

Insiden perlanggaran LRT Kelana Jaya berlaku pada 24 Mei tahun lalu apabila dua tren LRT bertembung di laluan Kelana Jaya di antara stesen Kampung Baru dengan stesen KLCC.

Kemalangan itu mengakibatkan 213 penumpang cedera, termasuk 166 cedera ringan dan 47 cedera parah.

Kejadian itu kemalangan pertama berlaku di laluan Kelana Jaya sejak perkhidmatannya bermula pada 1998. – Bernama, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen