Isu Palestin isu kemanusiaan sejagat, kata menteri


Idris Ahmad berkata, pendirian kerajaan Malaysia konsisten untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2022.

PENCEROBOHAN rejim Zionis di Palestin bukan hanya membabitkan isu agama tetapi ia isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira agama, bangsa dan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata, usaha membebaskan Al-Quds daripada penjajahan Israel Zionis bukan hanya tanggungjawab rakyat Palestin atau bangsa Arab semata-mata, tetapi ia satu tanggungjawab seluruh umat Islam.

“Ia menjadi kewajipan bagi setiap kita untuk menyumbang terhadap apa jua cara dan usaha untuk membebaskan Al-Quds dan Masjidil Aqsa daripada terus dinodai kesuciannya oleh Yahudi Zionis,” katanya semasa berucap pada majlis penutup sidang kemuncak ulama Islam mengenai perpaduan sebagai asas pembebasan Masjidil Aqsa di Sepang, Selangor hari ini.

Idris berkata, pendirian kerajaan Malaysia konsisten untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin sama ada dari segi politik, ekonomi dan moral.

“Solidariti itu dibuktikan dengan pendirian negara terus teguh untuk tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel selain mengutuk terhadap siri pencerobohan yang dilakukan di bumi Palestin,” katanya.

Persidangan tiga hari itu bermula pada Jumaat dianjurkan Yayasan MyAQSA dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan dihadiri kira-kira 200 ulama dari dalam dan luar negara. – Bernama, 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen