Keputusan permohonan semakan kes Loh Siew Hong pada 1 Ogos


Elill Easwaran

Loh Siew Hong memohon pengisytiharan tiga anaknya beragama Hindu, dan bekas suami tiada kapasiti undang-undang benarkan pendaftar mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya. – Gambar Facebook, 17 Mei, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada 1 Ogos mengenai permohonan semakan kehakiman ibu tunggal Loh Siew Hong terhadap penukaran agama secara sepihak anak-anaknya.

Peguam Loh, Srimurugan Alagan berkata tarikh itu ditetapkan semasa prosiding dalam talian hari ini di depan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Prosiding hari bagus dan kami menjangkakan hasil positif pada 1 Ogos.

“Jika kebenaran untuk semakan kehakimannya diberikan, saya menjangkakan perbicaraan bagi keseluruhan kes menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata keyakinannya diberi kebenaran kerana kes Loh adalah mengenai penukaran agama sepihak kanak-kanak bawah umur, yang sebelum ini diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Gandhi.

Loh memfailkan permohonannya untuk semakan kehakiman pada 25 Mac, menamakan Pendaftar Mualaf Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri sebagai responden pertama hingga keempat.

Beliau memohon pengisytiharan tiga anaknya beragama Hindu, dan bekas suaminya M Nagahswaran tiada kapasiti undang-undang membenarkan pendaftar mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

Beliau juga memohon pengisytiharan anak-anaknya, yang bawah umur, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk Islam tanpa kebenarannya.

Selain itu, beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan memeluk Islam bertarikh 7 Julai 2020, yang dikeluarkan oleh pendaftar atas nama anak-anaknya; kad lain berhubung penukaran agama yang dikeluarkan oleh pihak lain; dan, menghalang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kad tersebut.

Loh memohon perintah mandamus untuk memaksa pendaftar membatalkan atau memadam nama dan nama Islam kanak-kanak dalam daftar dan perintah larangan untuk menghalang Asri daripada mengeluarkan kenyataan yang bermakna anak-anaknya adalah mualaf atau Islam.

Beliau juga memohon pengisytiharan Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, yang memberi kuasa kepada pendaftar untuk mendaftarkan anak sebagai mualaf dengan persetujuan sama ada bapa atau ibu, walaupun kedua-duanya masih hidup , adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Tiga anak Loh, yang ketika itu berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan kepadanya pada 21 Februari, selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya. – 17 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen