Kukuhkan Warisan sebelum bekerjasama dengan parti lain, kata presiden


Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menekankan supaya partinya dimantapkan dahulu sebelum melaksana kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya umum nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2022.

PENGUKUHAN Parti Warisan (Warisan) perlu dijadikan fokus utama sebelum melaksana sebarang kerjasama dengan parti lain antaranya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15, kata presidennya Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata ini penting bagi memastikan Warisan tidak dilihat menjadi “kroni” sesebuah parti atau memperkukuh parti lain dalam kerjasama itu, sebaliknya ia perlu dilihat mampu berdiri teguh sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan Sabah dan negara secara keseluruhannya.

“Kita mahu bina rumah (parti) kita dahulu dinding, tiang dan atap ada semua, kadang-kadang kita punya tiang pun kena curi sudah, ini realitinya, jadi sebagai pemimpin parti kita kena pastikan parti kita cukup kukuh, saya tidak boleh bercakap kerjasama dengan banyak orang tanpa parti kukuh dahulu.

“Saya tidak katakan apa-apa negatif (untuk kerjasama) saya sentiasa buka pintu, tetapi saya mahu bina parti saya dahulu, kalau kita tidak bina dan kukuhkan parti nanti kerjasama lagi kita ditekan, saya punya pengalaman (sepertinya) dalam kerjasama sebelum ini,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan program Warisan Cares di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong di Kota Kinabalu yang merupakan sebuah program berkerja sambil belajar dan tajaan biasiswa dengan kerjasama Kuala Lumpur City College antaranya menawarkan program Diploma Pengurusan Peruncitan dan Program Kemahiran Bahasa Inggeris.

Mohd Shafie berkata kerjasama antara parti politik perlu dilakukan terutama apabila sesebuah parti itu menjadi kerajaan di sesebuah negeri dan parti yang lain menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan, namun ia mesti berlandaskan sebuah kerjasama pintar.

“Macam di Sabah jadi kerajaan (negeri) kita mesti berkerjasama dengan Semenanjung (Persekutuan) kerana kita dalam sebuah negara, tetapi kita mesti pintar untuk ‘detail out’ dengan bentuk dan siapa kita mahu kerjasama itu, kita tidak kata mahu gerak sendiri tetapi kita kena teliti dahulu,” katanya.

Mengulas mengenai program Warisan Care, Mohd Shafie berkata program itu diharap dapat membangunkan modal insan terutama generasi muda di Sabah yang amat penting dalam mencorak masa depan Negeri di Bawah Bayu itu. – Bernama, 12 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen