SPRM hanya mahu sahkan mesyuarat exco, kata Ramasamy


Kamles Kumar

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P. Ramasamy ketika ditemui di luar perkarangan pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah, George Town, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh David St Loh, 14 Februari, 2018. 

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu mengesahkan minit mesyuarat ahli lembaga exco Pulau Pinang, menurut Timbalan Ketua Menteri II Dr P. Ramasamy.

Katanya, beliau tidak terlibat dengan projek terowong yang kini sedang disiasat, suruhanjaya itu hanya memanggilnya untuk menjelaskan mengenai minit mesyuarat. 

“Pada asasnya mereka mahu mengesahkan mesyuarat exco berhubung projek terowong dan lebuh raya. 

“Hanya mesyuarat saya hadir, saya tahu. Berhubung butiran teknikal lain, saya tidak terlibat dalam projek terowong, (jadi) saya tidak tahu,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat SPRM. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Prai itu juga berkata, agensi pencegah rasuah terbabit turut menyoalnya mengenai beberapa individu. 

“Mereka bertanyakan tentang beberapa individu. Sesetengahnya saya jumpa, sesetengahnya tidak.”

Ramasamy merupakan pemimpin kerajaan Pulau Pinang kedua yang dipanggil SPRM, selepas exco kerja raya, utiliti dan pengangkutan Pulau Pinang Lim Hock Seng, disoal siasat oleh SPRM semalam selama 13 jam sebelum dibebaskan tengah malam tadi. 

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, beliau terkejut SPRM memanggil Ramasamy kerana beliau tiada kaitan dengan projek terowong dasar laut negeri itu. 

Beliau juga berkata SPRM menyiasat perkara “berdasarkan maklumat yang salah” yang diberikan Barisan Nasional. 

Katanya, siasatan itu merupakan satu bentuk hukuman politik yang menyasarkan untuk mencemarkan imej kerajaan negeri yang diterajui DAP itu. 

Projek terowong dan lebuh raya bernilai RM6.3 bilion itu dijalankan oleh kerajaan negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 bagi mengurangkan masalah kesesakan di negeri itu. 

Tiga projek lebuh raya berkenaan sudah mendapat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk diteruskan manakala projek terowong dasar laut masih dalam proses kajian. – 14 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen