Bersatu mahu RoS luluskan 21 bahagiannya di seluruh negara


Noel Achariam

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata kelulusan itu penting bagi membolehkan parti itu bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2018. 

BERSATU mahu Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk meluluskan 21 bahagiannya di seluruh negara bagi membolehkan parti itu bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14, kata Muhyiddin Yassin. 

Presiden Bersatu itu berkata, mereka sudah menghantar borang pendaftaran kepada RoS bagi membolehkan bahagian parti itu diluluskan segera.

“Kesemua bahagian sudah bersedia tetapi mereka tidak boleh teruskan tanpa kelulusan rasmi oleh RoS,” katanya di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini. 

Muhyiddin juga berkata mereka sudah mengadakan perbincangan untuk menubuhkan cawangan parti itu di seluruh negara. 

“Sebaik sahaja semuanya selesai, kita boleh penuhi apa yang terkandung dalam perlembagaan Bersatu.

“Ahli parti yang sudah berdaftar kemudiannya boleh memilih cawangan mana yang mereka mahu jadi ahli.

“Proses ini penting bagi membolehkan Bersatu terus ke hadapan dan meneruskan pemilihan pimpinan cawangan.”

“Jika bahagian tidak didaftarkan ia akan menjadi sukar untuk kami.”

Muhyiddin juga berkata mereka akan menulis surat kepada RoS tidak lama lagi untuk meminta kerjasama pendaftar pertubuhan itu mengenai aduan yang mereka terima berhubung Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu atau isu lain. 

“Kami mahu tahu mengapa sebenarnya aduan itu dibuat. Dan apa tindakan yang perlu diambil untuk menangani aduan itu. 

“Sehingga hari ini, kami masih belum menerima sebarang salinan aduan yang dibuat oleh individu berkenaan kepada RoS.”

Muhyiddin berkata Bersatu telah mematuhi perlembagaan parti apabila mengadakan mesyuarat agung tahunan pada Disember tahun lalu. 

Katanya, ia tidak boleh dianggap parti tiu sudah melanggar undang-undang hanya kerana ahlinya membuat aduan. 

“Ia hanya berdasarkan aduan, tetapi tidak bermakna mereka (pengadu) betul,” katanya. 

Dakwaan tidak berperlembagaan menyelubungi parti itu selepas ia gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan di cawangannya. Turut dilaporkan, ratusan aduan telah dihantar kepada RoS. 

Muhyiddin berkata, tindakan juga akan diambil ke atas ahli Bersatu yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap parti itu melalui media. 

“Kita akan rujuk ahli ini kepada lembaga disiplin parti dan kita mungkin akan pecat mereka.”

Terdahulu Muhyiddin melancarkan laman web kutipan dana Bersatu bagi menggesa rakyat Malaysia memberi sokongan kepada parti itu menjelang pilihan raya. 

“Dana itu bagi membantu jentera parti kami untuk pilihan raya. 

“Kami perlukan sokongan semua rakyat Malaysia untuk mencapai misi mengubah kerajaan.”

Untuk maklumat lanjut berhubung laman web itu boleh layari www.pribumibersatu.org.my. – 14 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen