Ku Li jumpa Amanah Kelantan tindakan individu, bukan keputusan parti, kata Annuar 


Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa berkata setiap keputusan mengenai sebarang hubungan hanya boleh diputuskan oleh parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2022.

ITU tindakan individu, bukan keputusan parti.

Demikian reaksi Ketua Bahagian Umno Ketereh Annuar Musa berkaitan laporan sebuah portal berita mengenai Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, mengadakan satu pertemuan dan perbincangan awal antaranya dengan pimpinan Amanah Kelantan baru-baru ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata prinsip Umno adalah jelas, setiap keputusan mengenai sebarang hubungan hanya boleh diputuskan oleh parti.

“Kalau sesiapa sahaja bertindak atas sifat individu, maka tindakan itu jadilah kerja individu. Individu tak semestinya serupa dengan kerja parti, jadi setakat yang saya tahu inisiatif yang dikatakan itu hanya inisiatif peribadi. Mudah sahaja, apa-apa perkara yang parti putuskan maka itulah yang kita pegang dan ikut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Zakat Fisabilillah kepada 259 pelajar tingkatan enam Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di Kota Bharu hari ini. – Bernama, 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen