Malaysia, Thailand komited tingkat kerjasama pacu pemulihan ekonomi


Mustapa Mohamed (kiri) mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith di Bangkok. – Gambar Facebook Mustapa Mohamed, 24 April, 2022.

MALAYSIA dan Thailand komited mengukuhkan kerjasama berkaitan perdagangan, pelaburan dan pelancongan untuk memacu pemulihan ekonomi pasca Covid-19 di kedua-dua negara, dalam persekitaran konflik Russia-Ukraine yang berterusan dan tekanan inflasi global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata pencerobohan Russia ke atas Ukraine menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia dan Thailand pasca Covid-19 kerana ia menyebabkan lonjakan harga pelbagai komoditi, terutamanya minyak, gas dan bijirin.

Katanya, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global tahunannya bagi 2022 daripada 4.1% kepada 3.2% manakala Tabung Kewangan Antarabangsa turut menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia daripada 4.4% kepada 3.6% tahun ini.

Beliau berkata, inflasi Amerika Syarikat meningkat kepada 8.5% pada Mac manakala inflasi tahunan Eropah turut mencecah satu lagi paras tertinggi sebanyak 7.5% dalam tempoh sama berikutan perang di Ukraine.

Persekitaran global terus amat mencabar, mewujudkan kebimbangan inflasi yang lebih tinggi akan merebak ke negara lain, memberi tekanan kepada bajet dari segi subsidi, kata Mustapa.

“Dalam konteks Malaysia dan Thailand, kita perlu meningkatkan perdagangan dan pelancongan (kerjasama).

“Pelancongan satu perniagaan yang besar; jika sektor pelancongan pulih dengan lebih cepat, ia akan membantu memudahkan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam lawatan kerja selama dua hari ke Bangkok yang berakhir pada Sabtu.

Pada Jumaat, Mustapa bertemu Menteri Kewangan Thailand Arkhom Termpittayapaisith dan Setiausaha Agung Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Danucha Pichayanan untuk membincangkan pembangunan ekonomi pasca Covid-19 dan projek infrastruktur di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam perkembangan lain, Mustapa menyambut baik langkah Thailand membatalkan ujian RT-PCR bagi ketibaan antarabangsa untuk individu lengkap vaksinasi mulai 1 Mei dan menyatakan Malaysia akan turut mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard yang seterusnya tidak lama lagi.

“Sekatan perjalanan yang dilonggarkan akan meningkatkan aliran pelancongan dan merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi ia akan mengambil sedikit masa untuk kembali kepada tahap sebelum Covid,” katanya.

Menurut Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia, Malaysia menerima 1,884,306 pengunjung dari Thailand pada 2019, tetapi jumlah itu merosot kepada 394,413 pada 2020 dan terus jatuh kepada 59,607 pada 2021.

Mustapa berkata, Thailand adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di dunia dan kedua terbesar di Asean, dengan nilai dagangan sebanyak RM98 bilion pada 2021 manakala Malaysia adalah rakan dagang keempat terbesar Thailand di dunia.

Dalam lawatannya, Mustapa dibawa melawat ke True Digital Park, hab teknologi dan permulaan terbesar di Asia Tenggara di Phra Khanong, Bangkok.

Beliau turut bertemu Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) serta wakil daripada CIMB Thailand dan Charoen Pokphand Group Company Ltd.

Setakat ini, terdapat 1,000 syarikat Malaysia beroperasi dalam pelbagai sektor, termasuk pembuatan, perbankan, penerbangan dan perkhidmatan lain di Thailand.

Dari 2017 hingga 2021, pelaburan syarikat Malaysia di Thailand berjumlah RM4.94 bilion manakala pelaburan syarikat Thailand di Malaysia berjumlah RM2.19 bilion.

Pemain utama termasuk CIMB, AirAsia, Petronas, RHB Bank, AAPICO Hitech Plc and Subsidiaries, Charoen Pokphand (CP) Malaysia, Kemaman Oil Corporation Sdn Bhd, Energy Oleochemicals dan Bintulu Fertilizer.

Pada Februari, Malaysia dan Thailand mengesahkan komitmen mereka untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan dua hala; bekerjasama rapat untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2025. – Bernama, 24 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen