Malaysia bayar pelobi Amerika RM1 juta, kata laporan


Syarikat pelobi Amerika dibayar Putrajaya seperti direkodkan dalam pemfailan Bahagian Keselamatan Negara Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat minggu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2017.

SEBUAH syarikat yang ditubuhkan bekas pembantu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dibayar AS$250,000 (RM1.07 juta) untuk melobi bagi pihak kerajaan Malaysia.

The Daily Beast memetik pemfailan dibuat Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Kehakiman AS minggu lepas yang mendaftarkan 45 Group sebagai agen “Republik Malaysia” melalui Godfrey Group Ltd.

Senarai pemfailan itu menyenaraikan alamat Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan Godfrey Group di Johor Baru. Ia merekodkan yang 45 Group dibayar AS$250,000 pada 9 Mei lepas untuk tujuan “perkhidmatan perhubungan awam dan perhubungan kerajaan”.

Rekod itu turut menyatakan yang “45 Group akan membantu Godfrey Group Ltd dengan hubungan antara kerajaan dan perkhidmatan perhubungan awam dengan menyokong Kerajaan Malaysia dan memperkukuhkan hubungan AS-Malaysia”.

45 Group ditubuhkan Healy Baumgardner-Nardone, yang merupakan setiausaha akhbar Trump sepanjang kempen presiden. Dia meletakkan jawatan September lepas kerana perbezaan pendapat dengan kepimpinan kempen tetapi mengekalkan hubungan rapat dengan kenalan rapat presiden AS.

The Daily Beast juga melaporkan yang Baumgardner-Nardone bukanlah bekas pembantu Trump yang pertama yang mendaftar sebagai pelobi. Sebelum ini, Trump semasa kempennya, sudah berjanji yang dia akan menghapuskan kumpulan berkepentingan khas.

Pemfailan DoJ tidak memberikan perincian tentang apakah isu yang ditangani 45 Group, tetapi Daily Beast mengatakan Malaysia sedang berusaha menafikan dakwaan Trump yang Malaysia terlibat dalam amalan perdagangan tidak adil. Pada Mac lepas, Malaysia adalah salah satu negara dalam senarai “penipu perdagangan” yang Trump arahkan Jabatan Perdagangan Negara tangani.

The Daily Beast juga melaporkan tentang Perdana Menteri Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal korupsi melibatkan 1Malaysia Development Bhd, dan anak lelaki tirinya ialah salah seorang defendan dalam saman DoJ untuk mendapatkan kembali aset yang didakwa dirompak daripada 1MDB.

Najib sebelum ini cuba menggambarkan hubungan baiknya dengan Trump selepas kempen presiden AS pada 8 Nov, dengan menulis catatan di Facebook berbunyi “Bagus sekali dapat berhubung kembali dengan Presiden Trump selepas kejayaan kempen presidennya yang cemerlang.”

Najib berkata yang dia pertama kali berjumpa Trump beberapa tahun lepas ketika perdana menteri itu berada di New York bagi menghadiri Sidang Kemuncak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mereka berdua bermain golf, dan Najib masih menyimpan bola golf yang ditandatangani Trump tertulis “Untuk perdana menteri kegemaran. Kemenangan yang hebat!”.  – 26 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen