Pengganas yang guna nama Islam untuk mengganas tiada ilmu agama, kata Zahid


Muzliza Mustafa

Pengganas yang menggunakan dan mengaitkan keganasan mereka dengan Islam tiada asas pengetahuan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2017.

KEBANYAKAN mereka yang melakukan serangan keganasan dan mengaitkan diri dengan Islam tidak ada asas pengetahuan agama itu, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata orang seperti itu mewakili kelompok minoriti yang mencemar imej indah Islam.

“Sebanyak 87% daripada mereka tidak ada asas Islam dan cuba mencari jalan singkat ke syurga,” katanya pada satu majlis di Kampung Durian Daun, Melaka petang ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengebom berani mati di Jakarta, insiden keganasan di Mindanao dan selatan Thailand.

“Saya harap insiden seperti itu tidak berlaku di sini,” katanya.

Zahir berada di Melaka untuk merasmikan masjid yang dinamakan sempena ibu dan bapa mertuanya masjid terapung Salmah Khamis.

Katanya, masjid itu, tempat beribadat umat Islam itu juga akan digunakan untuk menjalankan aktiviti deradikalisasi untuk memulihkan ekstremis agama dan pengganas.

“Kita perlu mula menganjurkan harmoni dalam agama kita. Islam itu indah. Islamfobia wujud kerana orang seperti ini (ekstremis) mencemar imej Islam,” katanya.

Zahid berkata bagi membolehkan semua hidup dalam harmoni, masing-masing perlu menghormati agama setiap orang.

“Untuk dihormati, kita perlu menghormati satu sama lain terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata serangan keganasan berlaku kerana dalangnya tidak memahami sistem Sahsiah Islamiah. – 26 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen