Sabah tak perlu jawatankuasa beritahu hak mereka, kata Shafie Apdal


Jason Santos

RAKYAT Sabah tidak memerlukan jawatankuasa untuk memaklumkan tentang hak mereka, kata Presiden Warisan Shafie Apdal menambah yang hak itu sudah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Apa yang rakyat Sabah perlukan, kata Shafie, adalah untuk Putrajaya menghormati dan mengembalikan hak mereka.

“Semua orang Sabah tahu apa hak mereka. Sudah ada dalam Perlembagaan (Persekutuan) dan perjanjian (MA63).

“Jadi anda tak perlu bentuk jawatankuasa untuk menganalisis apa yang perlu diberikan kepada Sabah,” katanya merujuk kepada pelbagai jawatankuasa dan badan pemikir dibentuk Putrajaya dan kerajaan negeri berkaitan hal itu.

Shafie berkata kerajaan Sabah hanya perlu meluluskan resolusi di Dewan Undangan Negeri mendesak pengembalian hak itu, langkah yang sudah diambil oleh Sarawak.

Sarawak sudah mengeluarkan pendirian tegas yang negeri itu hanya akan berbincang mengenai hak negeri dengan timbalan perdana menteri dan perdana menteri.

Adun pembangkang Sabah beberapa kali sudah memfailkan usul untuk memperdebatkan MA63 di Dewan Undangan Negeri tetapi ditolak oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN).

Tetapi dua tahun lepas, Menteri Luar Anifah Aman, adik kepada Ketua Menteri Musa Aman membentuk dan mempengerusikan kumpulan MySabah.

Rakyat Sabah seterusnya menyaksikan pembentukan jawatankuasa di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mengkaji hak negeri itu.

Anifah baru-baru ini menyifatkan pertemuan terbaru MySabah, Pengerusi Jawatankuasa Hak Negeri Teo Chee Kang dan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali sebagai “menggalakkan”.

Anifah juga memetik kenyataan Apandi mengatakan Sabah mungkin mempunyai kes.

Ini berkaitan dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan melibatkan semakan semula 40% pembahagian pendapatan diambil dari negeri setiap lima tahun.

Misi kajian MySabah mendapati yang kerajaan Persekutuan menghentikan semua bayaran diambil daripada pendapatan Sabah sejak 1974.

Matthew Simon, 46, dari Penampang mengatakan pembentukan pelbagai jawatankuasa tentang hak istimewa Sabah tidak lebih sekadar gimik BN.

“Apa sahaja kesannya, kita semua tahu yang pengembalian hak negeri akan masih berada di bawah kawalan kerajaan Persekutuan. Mereka menimbulkan perkara ini sekarang kerana pilihan raya semakin dekat,” katanya.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hak Sabah Teo Chee Kang dalam satu kenyataan baru-baru ini juga menimbulkan antara lain perkara dibincangkan dengan Apandi adalah jana kuasa tenaga.

Menurut Teo, jana kuasa di Sabah diambil alih oleh kerajaan Persekutuan pada 1983, ketika pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Berjaya.

Berjaya berkuasa sejak 1976 dan merupakan parti komponen Barisan Nasional sehinggalah ia ditewaskan dalam Pilihan Raya Negeri 1985 oleh PBS. – 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • shafie ni memang sengaja nak terus melaga-lagakan rakyat sabah dgn kerajaan persekutuan..padehal kerajaan telah banyak memberi sumbangan serta bantuan kpd sabah bg meningkatkan ekonomi negeri mereka berbanding dgn zaman madey dulu yg terhad sngt..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan