UiTM jamin tindakan ke atas pensyarah didakwa hina siswa B40


Dalam rakaman video tular itu, selain memarahi pelajar berkenaan, pensyarah tersebut turut suruh pelajar terbabit minta saudara-maranya jual gelang emas untuk beli komputer riba bagi memudahkannya belajar. – Gambar tangkap layar video, 30 Mac, 2022.

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) memberi jaminan akan bertindak sewajarnya ke atas seorang pensyarah yang didakwa menghina pelajar tidak berkemampuan dalam satu sesi pembelajaran.

Laporan Harian Metro menyebut, Naib Canselor UiTM Prof Roziah Mohd Janor menyatakan universiti sudahpun mengenalpasti individu terbabit dan sedang meneliti tindakan sewajarnya.

Beliau juga mengesyaki terdapat objektif tertentu di sebalik usaha mendedahkan rakaman tersebut pada waktu ini kerana insiden itu didapati berlaku pada semester lalu.

“Dia adalah pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur.

“Saya difahamkan insiden berkenaan berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuatnaik semalam.

“Bagaimanapun, tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu, kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba),” katanya seperti dipetik portal tersebut.

Roziah juga berkata kesilapan mungkin berlaku dalam tindakan pensyarah tersebut memarahi pelajar terbabit.

“Tindakan akan diambil tetapi saya tidak boleh jelaskan di sini. Dia adalah pensyarah kontrak dan ada laluan sebelum tindakan diambil,” katanya, mengulas aksi pensyarah itu dalam video yang tular.

Rakaman layar itu memaparkan pensyarah wanita terbabit memarahi seorang pelajar dalam insiden yang didakwa berlaku sewaktu satu sesi pembelajaran dalam talian

Dalam rakaman itu, pensyarah wanita terbabit berang kerana pelajar tersebut tidak mempunyai komputer riba walaupun sedang menuntut di semester lima.

Wanita itu antara lain berkata, kes seperti itu menyebabkan beliau “tidak boleh duduk dengan B40” kerana menurutnya golongan tersebut lebih mengutamakan perkara lain berbanding pelajaran.

Dalam video tersebut, pensyarah tersebut juga mengarahkan pelajar tersebut meminta saudara-mara menjual gelang emas bagi membeli komputer riba untuk pelajarannya.

Beliau didakwa mengucapkan demikian selepas mendapati bapa pelajar tersebut tidak bekerja pada waktu itu dan ibunya pula sudah meninggal dunia.

Rakaman sepanjang kira-kira dua minit itu meraih pelbagai kritikan serta kecaman pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dan mahu tindakan tegas dikenakan ke atas pensyarah tersebut.

Desakan sama disuarakan pertubuhan pelajar UiTM atas penghinaan yang didakwa dilakukan ke atas mahasiswa tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia Rasydan Mohd Hassan juga mendesak tindakan itu kerana pensyarah menghina golongan tidak berkemampuan.

“Sejarah UiTM dibina atas dasar untuk membantu lebih ramai mahasiswa Malayu dan Bumiputera untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.

“Kenyataan menghina dan memperlekehkan golongan B40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak,” kata Rasydan. – 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen