Gobind raih undi tertinggi dalam pemilihan DAP


Ahli Parlimen Puchong Gobind Sing Deo muncul antara muka baharu yang tersenarai dalam 30 ahli CEC. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mac, 2022.

AHLI Parlimen Puchong Gobind Sing Deo menerima undian terbanyak dengan 1,782 dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) pada Kongres Kebangsaan ke-17 parti itu hari ini.

Undian itu sekali gus menjadikan Gobind muncul antara muka baharu yang tersenarai dalam 30 ahli CEC.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berada di tempat kedua dengan 1,641 undi diikuti Anthony Loke (1,625).

Teresa Kok dari Wilayah Persekutuan memperoleh 1,373 undi manakala Hannah Yeoh yang membuat penampilan sulung dalam pemilihan CEC mendapat 1,346 undian.

Antara muka baharu lain dalam CEC DAP ialah Lim Hui Ying, Alice Lau, Chan Foong Hin, Wong Kah Woh, Tan Hong Pin, Young Syefura, Kasthuriraani Patto, Wong Shu Qi dan Jannie Lasimbang.

Sementara itu, Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Pengerusi Tan Kok Wai turut menganggotai CEC selepas masing-masing memenangi 1,311 dan 1,263 undi.

Teresa Kok dari Wilayah Persekutuan memeperoleh 1,373 undi manakala Hannah Yeoh yang membuat penampilan sulung dalam pemilihan CEC mendapat 1,346 undian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mac, 2022.

Bekas ahli CEC lain yang dikekalkan termasuk Nga Kor Ming, M Kulasegaran, Lim Lip Eng dan Ng Suee Lim.

Pemilihan itu adalah untuk penggal 2022-2025 dan diadakan di IDCC di Shah Alam.

Sejumlah 4,149 perwakilan menghadiri Kongres Kebangsaan sehari itu dan mengundi CEC, yang akan memimpin parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tidak seperti parti lain, ahli CEC yang dipilih akan memutuskan penyandang jawatan dalam kalangan mereka.

Pada kongres kebangsaan lalu, perlembagaan parti dipinda untuk menetapkan kuota 30% ahli wanita dalam CEC, bermakna terdapat sekurang-kurangnya sembilan wanita dalam jawatankuasa baharu. – 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen