Bekas duta persoal kelewatan ekstradisi rakyat Malaysia di Ukraine


Konvoi rakyat Malaysia dari Ukraine diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Fadhilah Daud (baju merah,tengah) tiba di sempadan Korczowa-Krakovets pada 5.45 petang waktu tempatan. – Gambar ihsan Wisma Putra, 28 Februari, 2022.

WISMA Putra sepatutnya bertindak beberapa minggu lalu untuk mengekstradisi rakyat Malaysia di Ukraine kerana amaran mengenai pencerobohan itu sudah jelas, kata bekas duta Noor Farida Ariffin.

Beliau mempersoalkan mengapa Wisma Putra tidak bertindak lebih awal berhubung perkara itu kerana ia melibatkan keselamatan rakyat Malaysia.

“Saya fikir ia adalah satu bencana. Kita sudah mendapat amaran mengenai pencerobohan Rusia minggu lalu dan Wisma Putra sedang ‘tidur’.

“Mengapa mereka tidak mengatur supaya kakitangan diplomatik dan keluarga dipindahkan dari Ukraine dengan segera,” kata Noor Farida kepada The Malaysian Insight.

Bekas pegawai diplomatik itu mengulas mengenai lapan diplomat Malaysia dan dua tanggungan warga asing yang melarikan diri dari negara itu melalui jalan darat ke Poland semalam.

Kementerian Luar berkata kumpulan itu terdiri daripada sembilan rakyat Malaysia, diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud bersama dua tanggungan Ukraine serta seorang warga Singapura tiba di sempadan Korczowa-Krakovets antara Ukraine dan Poland pada 10.45 malam waktu tempatan.

Wisma Putra berkata konvoi itu diterima dua pegawai dari kedutaan Malaysia di Poland.

Farida berkata Wisma Putra tersilap dalam menangani situasi itu.

“Saat-saat akhir mereka (rakyat Malaysia) terpaksa meninggalkan perjalanan di jalan yang sesak untuk melarikan diri ke Poland.

“Mereka sepatutnya dipindahkan minggu lalu. Entah kenapa Wisma Putra tidak bertindak lebih awal. Ia adalah satu kesilapan dalam mengendalikan keadaan.”

Beliau berkata, Menteri Luar Saifuddin Abdullah sepatutnya menasihati Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk bertindak segera.

“Sejujurnya, saya rasa menteri luar negeri patut letak jawatan. Sebab beliau patut nasihatkan perdana menteri supaya arahkan pemindahan rakyat kita di sana.

“Beliau (Saifuddin) boleh buat begitu walaupun tanpa perdana menteri, tetapi hanya memaklumkan kepada kabinet.

“Ia untuk keselamatan kakitangan diplomatik. Perang sedang berlaku di sana.”

Kementerian Luar ada pelan pemindahan

Bagaimanapun, Wisma Putra menafikan “laporan sensasi dan mengelirukan” yang ia tidak menangani pemindahan diplomat Malaysia di Ukraine dengan betul.

Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv, seperti kedutaan Malaysia yang lain, mempunyai pelan pemindahan sedia untuk diaktifkan jika perlu, tambahnya.

“Kerajaan membincangkan pelan pemindahan rakyat Malaysia di Ukraine dan pelaksanaannya secara terperinci semasa mesyuarat Kabinet pada 16 Februari lalu.

“Menteri hal ehwal luar negeri memaklumkan kepada Kabinet mengenai perkembangan di Ukraine terutama status keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara ini.

“Mengambil kira keadaan yang semakin teruk, perdana menteri memutuskan untuk mengaktifkan pelan pemindahan pada 24 Februari.”

Wisma Putra berkata misi pemindahan itu merupakan maklumat sensitif yang tidak boleh didedahkan kepada umum bagi memastikan keselamatan semua yang terlibat dalam misi itu.

“Dakwaan diplomat kami melarikan diri (Kyiv) kerana rancangan pemindahan tidak ada adalah tidak berasas.”

Bekas duta Noor Farida Ariffin berkata kerajaan sepatutnya bertindak lebih awal mengeluarkan rakyat Malaysia di Ukraine. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2022.

Farida berkata kementerian perlu menyokong rakyat Malaysia yang terjejas dengan membawa mereka pulang dan membayar pampasan perjalanan mereka.

Ismail Sabri perlu merayu agar keamanan dipulihkan dan perang dihentikan, kata bekas duta ke Belanda itu.

“Malaysia harus menggunakan segala usaha untuk membawa ketenangan dan keamanan kembali ke Ukraine. Ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa pun jika peperangan diteruskan.

“Tiada alasan bagi peperangan dan keganasan. Satu-satunya perkara yang boleh kita lakukan sekarang ialah merayu agar keganasan dihentikan.”

Pada Khamis, Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan “operasi ketenteraan” di Ukraine dan menyeru askar di sana meletakkan senjata mereka, menentang kemarahan Barat dan rayuan global agar tidak melancarkan perang.

Kenyataan Putin dibuat selepas Kremlin mendakwa pemimpin pemberontak di timur Ukraine meminta bantuan ketenteraan Moscow menentang Kyiv. – 28 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen