Peguam bela Rosmah akhiri hujah perbicaraan rasuah


Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, menghadapi satu pertuduhan meminta RM188 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2022.

PEGUAM bela Rosmah Mansor memuktamadkan hujah mereka dalam perbicaraan rasuah RM1.25 bilion membabitkan projek tenaga hibrid solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam Rosmah Akberdin Abdul Kader, Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork membentangkan hujah terakhir mereka.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, 25 saksi (23 daripada pihak pendakwaan, dua daripada pihak pembelaan termasuk Rosmah sendiri) memberi keterangan sepanjang 42 hari perbicaraan.

Saksi pembelaan terakhir, Siti Azizah Sheikh Abod turut mengakhiri keterangannya hari ini.

Siti Azizah sebelum ini bertugas di pejabat perdana menteri dan menyelaraskan bahagian Wanita Pertama Malaysia (FLOM), gelaran yang menurut pihak pendakwaan tidak pernah digunakan oleh mana-mana isteri perdana menteri Malaysia.

Zaini hari ini menetapkan 9 Mac untuk pihak pendakwaan memfailkan hujahan bertulis, 30 Mac untuk pihak pembelaan memfailkan hujahan bertulis dan 5 April untuk hujahan lisan.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah, 70, menghadapi satu pertuduhan meminta RM188 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Suapan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai ganjaran untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sistem hibrid solar photovoltaic (pv) bersepadu serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel untuk 369 sekolah bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan. – 23 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen