Patriot ajak rakyat perangi pelampau kaum, agama


Amin Iskandar

Patriot kini membuka pintunya kepada rakyat Malaysia yang sealiran fikiran tetapi bukan bekas tentera atau polis untuk menyertai sayap baharunya yang diberi nama Rakan Patriot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2018.

SEBUAH badan veteran tentera dan polis menyeru rakyat Malaysia bersama-sama menyertai perjuangan menentang apa yang mereka lihat sebagai ekstremisme perkauman dan agama.

Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot) Brigedier Jeneral (Bersara) Mohd Arshad Raji berkata banyak veteran dalam kalangan generasinya resah melihat bagaimana isu kaum dan agama diperalatkan untuk memecahbelahkan negara demi sokongan politik.

“Sewaktu berkhidmat dulu, kami tumpahkan darah untuk Malaysia yang inklusif, bukan Malaysia seperti hari ini,” kata Arshad kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata Patriot ditubuhkan pada Mac tahun lalu bagi veteran tentera dan polis yang cintakan keharmonian negara aktif menyuarakan penentangan terhadap ekstremisme agama dan kaum.

Bagaimanapun, pertubuhan itu kini memutuskan membuka pintunya kepada rakyat Malaysia yang sealiran fikiran tetapi bukan bekas tentera atau polis untuk menyertai sayap baharunya yang diberi nama Rakan Patriot.

“Melalui Rakan Patriot, kita mahu menyedarkan bahawa setiap rakyat berperanan bagi mencorakkan jenis negara yang mereka inginkan.”

Arshad berkata untuk memastikan Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang harmoni tanpa fanatisme agama dan kaum, seramai mungkin rakyat perlulah melibatkan diri.

“Mereka perlu bersikap ingin tahu dan bersuara terhadap apa jua yang berlaku pada negara demi kebaikan negara,” katanya.

Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot) Brigedier Jeneral (Bersara) Mohd Arshad Raji berkata banyak veteran resah melihat bagaimana isu kaum dan agama diperalatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2018.

Arshad berkata sesiapa saja yang menunjukkan minat dalam program demi membentuk keharmonian, kesejahteraan dan perpaduan rakyat dijemput menyertai Rakan Patriot.

“Setiap ahli Rakan Patriot harus mempunyai keperibadian yang boleh dicontohi, dan tidak menunjukkan sikap perkauman dan ‘religious fanaticism’ (fanatik agama) serta berumur 18 tahun ke atas,” katanya.

Arshad memberitahu The Malaysian Insight Rakan Patriot akan dilancarkan pada 14 Februari akan datang.

“Kami juga akan merasmikan laman web Patriot pada majlis tersebut.

“Pada hari itu juga, kami akan umumkan program Rakan Patriot yang akan kami anjurkan tahun ini,” katanya.

Bukan badan politik

Arshad berkata tindakan menubuhkan Rakan Patriot bukanlah disebabkan beliau dan ahli Patriot mahu berpolitik atau terlibat dalam pilihan raya akan tetapi semata-mata kerana kecintaan terhadap negara.

“Patriot adalah sebuah NGO dan berkecuali dalam hal politik. Ini tidak bermakna bahawa ahli Patriot tidak boleh menjadi ahli dalam mana-mana parti politik.

“Sekiranya ahli ingin menjadi calon pada PRU akan datang, itu hak peribadi mereka.

“Patriot tidak akan menjadi penganjur mana-mana ahli yang ingin menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang,” katanya. 

Beliau berkata objektif utama penubuhan Rakan Patriot ialah bagi melihat rakyat Malaysia hidup dalam keadaan harmoni dan mesra tanpa mengira kaum dan anutan agama.

“Jika keharmonian dan kemesraan ini dapat disematkan di hati dan sanubari setiap rakyat, maka kami yakin menyatukan rakyat dapat tercapai.

“Dan ini sudah tentunya akan membawa kemakmuran dan kejayaan pada negara,” katanya.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight tahun lalu, Arhad berkata keharmonian Malaysia sebagai negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama “hampir dirosakkan” oleh segelintir ahli politik yang hanya mementingkan kuasa.

Arshad berkata generasi beliau dibesarkan untuk melihat lebih daripada soal kaum dan agama, sambil menambah ahli politik “jahat” yang mencipta perbalahan di kalangan generasi muda. – 8 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen