Kanak-kanak Orang Asli hilang di hutan Perak masih belum ditemui


Usaha mencari kanak-kanak perempuan Orang Asli sembilan tahun yang hilang sejak Khamis di Hutan Simpan Temengor, Perak masih diteruskan. – Gambar Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC), 17 Januari, 2022.

SEORANG kanak-kanak Orang Asli berusia sembilan tahun yang hilang sejak Khamis lalu di Hutan Simpan Temengor, Perak masih belum ditemui.

Kanak-kanak perempuan itu, Kamelia Anap atau nama panggilannya Ayeng, disedari hilang oleh ahli keluarganya semasa mereka mencari rotan di sekitar Selaor, di hutan tersebut.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas dalam satu makluman di Facebook berkata, Ayeng dari suku Jahai terpisah daripada keluarga dan penduduk lain seramai 11 orang selepas tiba di kampung mereka.

“Apabila Ayeng didapati masih belum pulang, mereka mula mencarinya petang itu.

“Apabila gagal, usaha mencari diteruskan pula melibatkan seluruh kampung sehingga malam.

“Menurut bapa saudaranya, Langan Ateng, Ayeng mempunyai masalah pendengaran dan kecacatan mental,” kata aktivis Orang Asli itu.

Tambah Nicholas, lokasi terakhir Ayeng dilihat adalah kawasan yang biasa dikunjungi kanak-kanak terbabit kerana kebiasaannya penduduk kampung mengadakan majlis perayaan di situ.

Kehilangan Ayeng dilaporkan pada Jumaat lalu selepas usaha penduduk kampung mencarinya menemui jalan buntu. Susulan itu, operasi mencari melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan polis telah diaktifkan. 

Operasi turut dibantu kakitangan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta penduduk dari kampung Selaor dan Jambatan Dua.

Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq juga terlibat dalam operasi mencari Ayeng. – 17 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen