Pembersihan pascabanjir capai 98.17%, kata Nadma


Menurut Nadma, fasa pertama kerja pembersihan pascabanjir di Johor mencapai 90% dengan kawasan tumpuan di daerah Segamat dan Muar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

KERJA pembersihan sisa pascabanjir di enam negeri mencapai keseluruhan 98.17% siap di bawah fasa pertama dan 100% untuk fasa kedua membabitkan hanya dua negeri (Negeri Sembilan dan Melaka) setakat semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 438 tan sisa banjir dibersihkan pada kedua-dua fasa pembersihan dengan menggunakan 112 jentera dan 354 pekerja.

“Fasa pertama kerja pembersihan pascabanjir di Johor mencapai 90% dengan kawasan tumpuan pembersihan di daerah Segamat dan Muar, manakala di Pahang, kerja pembersihan kekal pada 99% kerana berdasarkan rondaan hari ini masih terdapat sisa baharu dikeluarkan dari kawasan perumahan.”

Sementara itu, menurut laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), terdapat pertambahan empat kejadian tanah runtuh direkodkan iaitu masing-masing dua di Sabah dan Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kejadian tanah runtuh sepanjang monsun timur laut (MTL) 2021/2022 adalah sebanyak 280.

Kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 61.7% ketua isi rumah terkesan dalam gelombang pertama dan 52.3% terkesan dalam gelombang kedua, menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) membabitkan peruntukan sebanyak RM64.8 juta. – Bernama, 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen