Cadang pasang kolar penjejak Harimau Malaya, kata menteri


Terdapat kira-kira 150 ekor Harimau Malaya di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli bercadang untuk memasang kolar penjejak pada kira-kira 150 ekor Harimau Malaya di seluruh negara untuk memudahkan urusan menjejaki haiwan mamalia itu.

Menterinya Takiyuddin Hassan berkata penggunaan kolar penjejak dengan teknologi satelit itu dapat mengesan sekiranya hidupan liar itu berpindah ke kawasan lain atau keluar dari habitat asal.

“Kita juga mengarahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengkaji penggunaan kolar penjejak terhadap Harimau Malaya seperti yang digunakan terhadap gajah liar sebelum ini.

“Sekiranya berkesan kita juga mahu gunakan kolar penjejak ini kepada Harimau Malaya supaya boleh jejak keberadaan haiwan itu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kerajaan memandang serius untuk melindungi Harimau Malaya daripada terancam dan pelbagai tindakan diambil untuk menyeimbangkan kepentingan pembangunan dan kelestarian alam.

“Kita sedar mengenai perkara ini malahan kita mengambil tindakan luar biasa untuk menyelamatkan hidupan liar seperti baru-baru ini Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat membincangkan mengenai isu ini selain saya juga membawa pindaan Akta Perhilitan pada Disember lalu dengan meningkatkan jumlah denda kepada mereka yang melakukan kesalahan terhadap hidupan liar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu harimau berkeliaran di Pos Bihai, Gua Musang baru-baru ini dipercayai susulan aktiviti pembalakan, Takiyuddin berkata, setiap kerajaan negeri diberikan kuasa mengikut undang-undang yang ditetapkan untuk menebang balak setiap tahun.

“Kerajaan negeri mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana setiap tahun kerajaan negeri diberi kuasa untuk menebang balak menerusi catuan tebangan tahunan (CTT) sebagai sumber ekonomi tetapi perlu ada penanaman semula dan mempunyai kawalan supaya tidak menjejaskan habitat hidupan liar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau pada 7 Januari.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi, mangsa, Anek Along, 59, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya namun didapati hilang sebelum mayatnya dijumpai penduduk di dalam hutan. – Bernama, 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen